HomeIsu tempatanNDRC UMS aktif sertai latihan pengoperasian bencana tanah runtuh

NDRC UMS aktif sertai latihan pengoperasian bencana tanah runtuh

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menunjukkan komitmen dalam persediaan menghadapi bencana dengan menyertai latihan Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) yang berlangsung di Kundasang, baru-baru ini.

Latihan tersebut memfokuskan kepada pengurusan bencana tanah runtuh di Sabah, dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, acara tersebut terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu sesi TTX yang membincangkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) setiap agensi, diikuti dengan sesi FTX yang melibatkan simulasi penuh struktur arahan, operasi, serta aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) oleh agensi terlibat.

“Simulasi seperti ini sangat penting sebagai platform memperkukuh kebolehoperasian dan kerjasama antara agensi.

“Latihan ini akan meningkatkan kefahaman bersama dan memudahkan tindakan kolektif antara pasukan penyelamat, khususnya dalam situasi kritikal seperti tanah runtuh di Sabah,” katanya yang turut menjadi peserta kepada sesi latihan tersebut.

Carolyn berkata, sesi latihan yang melibatkan 70 peserta pelbagai agensi juga membuka ruang perkongsian ilmu antara agensi, selain membolehkan peserta meningkatkan pengetahuan, pengalaman, dan kepakaran mereka.

“Tahun ini daerah Ranau dipilih sebagai lokasi operasi kerana terdedah kepada bencana seperti gempa bumi, tanah runtuh, dan banjir.

“Justeru itu, pentingnya latihan seperti ini untuk meningkatkan kesiapsiagaan agensi dan sukarelawan dalam pengurusan bencana serta memperkukuh PTO sedia ada,” ujar beliau.

Latihan bersepadu ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Agensi-agensi utama yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Ranau, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Taman-Taman Sabah, serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, antara agensi teknikal dan sokongan lain yang menyertai latihan ini ialah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, RELA, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn. Bhd., serta Sapura Secured Technologies.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

AKEPT, UMS lancar projek kerjasama tambah baik sistem UniLead

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular