HomeUtama'Explore Sabah' tonjol tarikan unik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

‘Explore Sabah’ tonjol tarikan unik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

Read Time:1 Minute, 33 Second

London :  Sabah memperkenalkan inisiatif ‘Explore Sabah’ pada program ‘World Travel Market’ (WTM) tahun ini yang bertujuan menonjolkan tarikan unik di Sabah menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata,  penyertaan Sabah di WTM adalah sebahagian daripada perjalanan yang lebih besar untuk berhubung dengan rakan global bagi memperluaskan kehadiran Sabah di United Kingdom.

“Pavilion ini mewakili komitmen kami untuk berkongsi keajaiban Sabah dengan dunia. Kami berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi utama untuk pengalaman budaya, pengembaraan, dan alam semula jadi yang tidak dapat dilupakan.

“Explore Sabah juga adalah inisiatif strategik untuk meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi kegemaran, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen itu di Pavilion Sabah di sini semalam sempena pameran ‘business-to-business’ di Excel, Docklands.

Christina mengetuai delegasi Sabah sepanjang acara WTM selama empat hari itu. Tahun ini, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengetuai penyertaan Sabah di WTM, mempamerkan pavilion khusus yang menampilkan 13 ejen tempatan.

“Melalui Explore Sabah, kami bersedia untuk mempamerkan negeri kami yang menakjubkan dan menjadikannya destinasi pilihan Malaysia bagi mereka yang mencari pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam budaya, pengembaraan, dan alam semula jadi,” tambahnya.

Menurutnya, kempen itu antara lain akan menonjolkan 10 keajaiban unik Sabah, termasuk tapak warisan UNESCO, lima puncak tertinggi, kepelbagaian biologi yang kaya, dan pengalaman hidupan liar yang mengagumkan.

Sepanjang empat hari WTM, Pavilion Sabah menampilkan persembahan oleh duta budaya Sabah: Stanley Missun dari Orkestra Muzik Buluh Tamparuli Sabah; Unduk Ngadau Hyellene Danius; dan pemain seruling panjang terkenal, Payuki, yang mempamerkan warisan budaya kaya negeri ini.

Hadir pada pelancaran itu adalah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah merangkap pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar; dan ketua pegawai eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit.

RELATED ARTICLES
Utama

Aplikasi GoNet mudahkan pengguna buat tempahan fasiliti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular