HomeUtamaKerjasama Kerajaan Sabah, Persekutuan berjaya diperkukuh dalam pelbagai perkara

Kerjasama Kerajaan Sabah, Persekutuan berjaya diperkukuh dalam pelbagai perkara

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh SABAH MEDIA TEAM

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah berjaya memperkukuh kerjasama dan persefahaman dengan Kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan isu-isu penting berkaitan keselamatan, kedaulatan negeri dan hak-hak Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah dalam penerokaan minyak dan gas selain hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, dalam tempoh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah telah banyak perubahan positif dalam politik, ekonomi dan semua aspek pembangunan negeri.

Menurutnya,  pendekatan kerajaan yang inklusif, telah membawa kepada kestabilan dan keharmonian berasaskan prinsip akomodatif. 

“Saya berharap, agar semangat perjuangan yang membara di dalam dewan ini, akan terus disemarakkan sehingga tiba Pilihan Raya. Saya berharap, semangat jitu dalam perjuangan yang dipamerkan oleh seluruh perwakilan pada hari ini, akan berkekalan sehingga ke Perhimpunan yang akan datang.

“Kita pertahankan Kerajaan yang kita dukungi ketika ini, mari kita memperteguhkan perjuangan selaras pepatah yang berbunyi, ‘Bersatu dalam perkara yang kita sepakati dan bermusyawarah dalam perkara yang kita selisihi’. 

“Jika kita bergerak dalam satu pasukan yang jitu, bergerak dalam satu irama yang sama, bergerak atas nama Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Makmur) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu), insya Allah, kita akan dapat menolak segala anasir yang cuba memperlekehkan dan mematahkan agenda pembangunan kita, sekaligus meletakkan posisi kita kehadapan sebagai pejuang yang mempelopori Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Sebagai Government of the day, GRS-PH Plus, akan terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir. 

Katanya, menjelang pilihanraya nanti, pihaknya akan terus menawarkan parti ini dan GRS kepada rakyat kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta dan mensejahterakan rakyat yang dikasihi.

“Kerajaan ini tetap menjadi platform terbaik untuk kita memantapkan gabungan demi meneruskan legasi perjuangan.

“Pilihan Raya yang mendatang menuntut kita semua untuk memperkukuh kerjasama, mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan Gagasan Rakyat dan GRS adalah pilihan terbaik untuk seluruh rakyat.

“Ini kerana kita bukan sahaja berupaya dan berkebolehan dalam memikul amanah, tetapi juga ikhlas dalam perjuangan dan jujur dalam mencurahkan khidmat bakti dimana seluruh rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan menyandarkan harapan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Jangan terikut-ikut provokasi pihak pertikai perlantikan Tun Musa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular