Oleh SABAH MEDIA TEAM
Kota Kinabalu : Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu Kerajaan negeri memberi penekanan kepada pemerkasaan program berbentuk latihan kemahiran dan pembangunan kerjaya di dalam Belanjawan Sabah 2025 yang akan dibentang Jumaat ini.
Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang berkata, Kerajaan juga perlu memberikan perhatian serius dalam meningkatkan akses rakyat kepada pendidikan yang berkualiti khususnya di kawasan pedalaman termasuk memantapkan jaringan digital.
Katanya, peruntukan yang lebih perlu disediakan agar golongan belia yang keciciran di dalam sistem akademik juga diberikan peluang untuk turut serta di dalam program-program yang disediakan Kerajaan.
“Mungkin kita boleh fikirkan tentang bentuk-bentuk program yang menggabungkan nilai kemahiran dan keusahawanan kepada golongan belia terutamanya wanita yang tidak bersekolah sedari awal lagi.
“Ini semestinya akan memberikan peluang kedua kepada mereka untuk meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Emmie berkata, pelbagai inisiatif dan pendekatan strategik dilaksanakan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi memastikan ekonomi diatur dengan cukup baik dan terancang.
Katanya, antara langkah yang diputuskan adalah dengan memperkasakan sektor pelancongan, pertanian dan perindustrian yang dirangka melalui pelan tindakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurutnya lagi, tindakan-tindakan Kerajaan ini adalah bertujuan untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan negeri.
“Bagi pihak golongan belia terutamanya wanita muda, kami Beliawanis tumpang gembira dengan pelbagai program-program yang telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri. Bagi meningkatkan penglibatan belia di dalam bidang keusahawanan, Kerajaan melalui KBS dan IKRAR mengadakan Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).
“Justeru, kita pohon kepada Ketua Menteri agar program yang bagus ini dapat diteruskan dan diperluaskan di dalam Belanjawan Negeri Sabah untuk tahun 2025 berbanding jumlah penyertaan sebanyak 2,500 peserta pada setiap tahun.
“Mungkin jumlah RM2,000 boleh dikaji semula jumlahnya sekiranya berpadanan dengan perniagaan atau keusahawanan yang ingin peserta kembangkan,” katanya. – SABAH MEDIA