Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Penglibatan Ibu Bapa,Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah mencadangkan agar Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) yang diperkenalkan Kerajaan negeri sebelum ini dijadikan sebagai geran tahunan.
Perkara itu disuarakan Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Mohd Arif Tun Sakaran ketika ditemui Sabah Media di sini baru-baru ini.
Katanya, menerusi bantuan itu, PIBG sekolah akan dapat melaksanakan program dan aktiviti bermanfaat kepada murid di sekolah terlibat.
“Saya mencadangkan agar bantuan BAGUS yang disalurkan Kerajaan Negeri ini diberikan sebagai geran tahunan dan diberikan terus kepada PIBG sekolah terlibat.
“Sudah tentu dengan bantuan itu nanti alan dapat mengiktiraf lagi peranan PIBG dalam memperkasakan sektor pendidikan di setiap sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas harapan PIBKS menjelang pembentangan Belanjawan Sabah 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Jumaat ini.
Bantuan BAGUS yang disalurkan Kerajaan negeri pada masa ini adalah sebanyak RM2,000 secara sekali bayar.
Arif berkata, pihaknya turut berharap agar bantuan sedia ada turut dikekalkan khususnya melibatkan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH); Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS); Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dan beberapa bantuan lain.
“Selain daripada BAGUS, saya juga berharap agar bantuan sedia ada dikekalkan selain mencadangkan agar jumlahnya mungkin boleh ditambah berdasarkan keperluan semasa pada masa kini.
“Selain itu, di Sabah jika kita lihat sektor pendidikan amat perlu diberi perhatian kerana ini banyak membawa kesan dimasa hadapan.
“Ini perlu diberi perhatian termasuklah pembangunan infra seperti sekolah-sekolah daif yang masih banyak di negeri ini selain keperluan meja dan kerusi untuk kemudahan murid,” katanya. – SABAH MEDIA