HomeUtamaBelanjawan Sabah 2025 tawar pelbagai insentif bermanfaat

Belanjawan Sabah 2025 tawar pelbagai insentif bermanfaat

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu : Belanjawan Sabah 2025 yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ telah menawarkan pelbagai insentif yang cukup bermanfaat kepada semua lapisan rakyat di negeri ini.

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin berkata, ia termasuklah memperkenalkan bantuan baharu kepada golongan sasar dan para peniaga kecil.

Katanya, belanjawan bertemakan ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’  itu turut membuktikan kerajaan bertekad untuk membasmi kemiskinan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan terutama sekali dari aspek taraf hidup, kebajikan dan juga ekonomi.

“Bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan, kerajaan menyediakan peruntukan RM358.5 juta bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat dalam kategori itu sebanyak RM300 sebulan selama setahun melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat.

“Jumlah itu sudah pasti dapat mengurangkan sedikit beban mereka akibat kos sara hidup yang tinggi memandangkan golongan itu tidak mempunyai pendapatan yang tetap namun berdepan dengan kenaikan harga barangan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Klias turut menyambut baik insentif dalam bentuk bantuan secara sekali bayar yang diberikan kepada peniaga kecil tepi jalan sebanyak RM5,000.

Katanya, insentif itu dilihat dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan masing-masing bagi membolehkan mereka menjana lebih banyak pendapatan.

“Sudah pasti dengan pemberian insentif ini akan dapat menjadi dorongan kepada para peniaga tepi jalan untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

“Setiap bantuan atau program yang dilaksanakan juga diyakini akan dapat memberi kesan baik kepada rakyat selain mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahril berkata, Kerajaan juga tidak melupakan penjawat awam di negeri ini yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan agenda Kerajaan selain pentadbiran perkhidmatan di negeri ini.

“Selain itu, hampir 19,000 kakitangan awam negeri, termasuk pekerja kontrak dan sambilan, akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000 pada Januari 2025.

“Inisiatif ini diharapkan dapat memacu ekonomi dan kualiti hidup rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Mencipta Masa Depan Gemilang untuk Semua Dalam Belanjawan 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular