HomeIsu tempatanPSI Universiti Oxford, UMS catat sejarah jalin kerjasama dalam penyelidikan pandemik

PSI Universiti Oxford, UMS catat sejarah jalin kerjasama dalam penyelidikan pandemik

Read Time:2 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pandemic Sciences Institute (PSI) Universiti Oxford mencatat sejarah dengan mengadakan kerjasama melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani ke arah melonjakkan penyelidikan, perkongsian ilmu dan inisiatif bersama dalam sains pandemik.

Kolaborasi dengan universiti terkemuka dunia itu merupakan sebuah komitmen berterusan bertujuan memberi impak jangka panjang terhadap kesihatan awam global.

Kerjasama ini akan memacu penyelidikan yang tertumpu kepada penyakit berjangkit melalui pendekatan “makmal hidup”, dengan penubuhan Makmal Hidup Penyakit Zoonotik dan Bawaan Vektor di UMS.

Projek perintis ini memfokuskan kepada penyakit berjangkit yang memberi kesan kepada pulau Borneo yang sememangnya kaya biodiversiti di Malaysia.

Melalui kolaborasi ini, UMS dan PSI bersedia untuk mengukuhkan asas saintifik bagi kesiapsiagaan pandemik, memupuk penyelidikan inovatif dan membangunkan strategi dalam menangani risiko penyakit berjangkit yang kian berkembang di seluruh dunia seiring dengan moto UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif.

Pada 8 November lalu, PSI menyambut delegasi UMS dalam satu perbincangan meja bulat sebagai simbolik rasmi pelancaran kerjasama ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menekankan potensi transformatif kerjasama tersebut.

“Melalui MoU ini, kita membina asas untuk keselamatan kesihatan dengan membawa sumber dan kepakaran global terus ke Universiti Malaysia Sabah.

Kerjasama ini menandakan komitmen universiti terhadap kesihatan awam sebagai tanggungjawab bersama global dan menempatkan Sabah sebagai penyumbang aktif dalam usaha memerangi penyakit berjangkit,” katanya.

Kasim juga menegaskan bahawa menangani penyakit berjangkit adalah kritikal dalam memenuhi agenda kesihatan Sabah serta memajukan misi rantau ini dalam meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan sejagat.

Delegasi UMS dijemput melawat makmal di bawah seliaan Profesor Miles Carroll, yang merupakan seorang penyelidik PSI dan pakar dalam virus baharu.

Menurut beliau, bekerjasama dengan pakar dari UMS melalui pemantauan serologi dalam komuniti di kawasan yang kaya biodiversiti adalah penting.

“Kini, kita berpeluang untuk mengkaji jejak imunologi yang ditinggalkan oleh virus baru yang boleh menjangkiti manusia dari reservoir haiwan semulajadi.

“Kerjasama baru ini akan memastikan kedua-dua pihak dapat menjalankan lebih banyak kajian di kawasan luar bandar dan hutan di Borneo Malaysia dalam memperoleh gambaran alam sekitar yang lebih besar,” katanya.

Kerjasama ini juga akan menyatukan kepakaran PSI dalam sains pandemik dengan komitmen UMS ke arah usaha untuk menubuhkan sebuah institut penyelidikan klinikal bertaraf dunia di Sabah.

Inisiatif bersama ini akan menjadi peluang untuk menerajui pembangunan alat diagnostik yang boleh dipercayai, pantas, dan mudah alih untuk penyakit berjangkit sebagai satu kemajuan kritikal dalam mengurus virus baharu yang muncul.

Di samping itu, kolaborasi antarabangsa ini menekankan kajian ke atas kekayaan biodiversiti Sabah dalam melahirkan generasi baharu saintis bioperubatan yang berkeupayaan menangani cabaran penyakit berjangkit yang kian berkembang.

Impak utama hasil kerjasama ini bakal dilihat melalui kemajuan transformatif dalam memerangi penyakit berjangkit, menandakan peningkatan ketahanan kesihatan serantau dan global.

Dari UMS, majlis menandatangani MoU ini turut dihadiri oleh Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly selaku Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Datuk Dr. Mohd Yusof Ibrahim; serta ahli akademik FPSK, Profesor Dr. Kamruddin Ahmed dan Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS, Yun Fook Resources laksana penyelidikan nutrisi murid sekolah di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular