HomePendapatBelanjawan Negeri Sabah 2025 "Somo Kerso"

Belanjawan Negeri Sabah 2025 “Somo Kerso”

Read Time:4 Minute, 31 Second

Oleh MUDA MUHAMMAD

Seluruh pelusuk rakyat Sabah mendapat manfaat dan nikmat daripada Belanjawan Negeri Sabah 2025 yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Menteri Kewangan Sabah pada Jumaat lepas.

Bak kata pepatah Bajau “somo kerso” yang bermaksud sama-sama merasa atau hasil yang dirasai bersama. Begitulah kesimpulan yang boleh diberikan kepada Belanjawan Sabah.

Bertepatan dengan tema “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera”, setiap lapisan rakyat disebut satu persatu dalam Belanjawan tersebut. Belanjawan yang tertinggi untuk negeri Sabah dan ianya dirasai oleh semua rakyat Sabah.

Kemakmuran yang sedang dinikmati oleh rakyat Sabah ini terbukti bila Kerajaan Negeri yang diamanahkan oleh rakyat untuk memimpin Sabah hari ini berjaya menerima pelaburan sejumlah RM1.7 billion (sehingga Jun 2024).

Kepimpinan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor telah berjaya membawa negeri Sabah kembali ke landasan yang sebenar daripada segi pembangunan dan ekonomi.

Bukti pertama, nilai KDNK Sabah mencatatkan peningkatan kepada RM83.2 bilion pada tahun 2023 berbanding RM82.1 bilion pada tahun sebelumnya. Kedua, kadar inflasi negeri Sabah direkodkan pada kadar 1.4 peratus iaitu sedikit lebih rendah berbanding kadar inflasi nasional iaitu 1.8 peratus. Ketiga, ini merupakan tahun kedua Kerajaan Sabah dapat mengekalkan pungutan hasil di paras 6 bilion iaitu RM6.974 bilion.

Tiga indikator ini adalah terjemahan kepada pentadbiran baik, cekap dan berlandaskan “pomogunan do sogigisom”. Dialek Dusun yang disebut dalam pembentangan belanjawan yang bermaksud pembangunan lestari berasaskan kebersamaan. Ini yang dimaksudkan semua orang dapat sama-sama merasa atau hasil yang dirasai bersama – somo kerso.

Limpahan daripada pelaburan dan hasil yang tinggi yang diurus oleh Kerajaan Negeri Sabah dipulangkan kembali untuk ianya turut dirasai oleh rakyat. Hasil yang dinikmati daripada peningkatan harga komoditi minyak mentah petroleum (CO) dan minyak sawit mentah (CPO) sebagai sumber hasil utama negeri Sabah.

Tiada yang terpinggir. Petani, nelayan dan penternak sama-sama merasa, disediakan program bantuan sejumlah RM373.24 juta. Komuniti pesawah dan pekebun kecil turut sama merasa bila insentif pembajakan sawah padi dinaikkan daripada RM18 juta kepada RM26 juta.

Paling menarik perhatian dan luar biasa adalah Program Sentuhan Kasih Rakyat dengan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun kepada golongan miskin. Ianya melibatkan bajet sejumlah RM358.5 juta. Bermaksud, dalam setahun seorang penerima akan menikmati sejumlah RM3,600, dan akan memanfaatkan sejumlah hampir 107,083 penerima.

Selain itu, peniaga gerai kecil tepi jalan pun turut sama-sama merasai (somo kerso) belanjawan ini bila diumumkan mereka akan diberi bantuan one-off sebanyak RM5,000. Inilah yang diertikan oleh Masidi bila kestabilan ekonomi terjadi maka ianya akan mempengaruhi taraf hidup rakyat. Terus dibantu rakyat yang miskin dan peniaga gerai di tepi jalan.

Mahasiswa, penternak air tawar, pengusaha ayam daging, pekebun kecil, usahawan dan pengusaha pelancongan, semua sama-sama merasa (somo kerso). Tidak ada yang tertinggal, disebutnya satu persatu termasuklah nama tempat bila sesuatu infrastruktur itu hendak dibina dan didirikan bagi kemudahan masyarakat. Ini membuktikan Kerajaan Negeri Sabah cukup teliti, mendengar sendiri masalah rakyat di bawah dan terus membantu kepada mereka yang selayaknya.

Sejumlah 1,500 buah sekolah mendapat bantuan one-off sebanyak RM3,000 untuk membiayai program-program sekolah. Starlink pun sampai ke 300 kawasan yang tiada liputan internet. Bantuan pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis diberikan kepada 1,075 sekolah yang memanfaatkan seramai 291,275 murid.

Perkara paling asas mengikut teori Abraham Maslow cuba diselesaikan oleh Kerajaan Negeri dan tidak cukup dengan itu, rumah lagi diberi. Sejumlah 4,482 Rumah Mesra SMJ telah siap dibina dan tambahan lagi 3,000 unit rumah di semua 73 Dewan Undangan Negeri akan disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk rakyat negeri Sabah. Isu bekalan air dan elektrik, rangkaian jalan raya dan kemudahan awam masih lagi mendapat keutamaan bila perbelanjaan sejumlah RM2.607 bilion diperuntukkan bagi menangani isu-isu tersebut

Hasil perancangan dan diplomasi yang baik oleh para pemimpin Kerajaan Negeri Sabah, maka limpahan pelaburan masuk ke negeri Sabah. Hasil ini diterjemahkan menerusi kadar pertumbuhan bagi sektor pembuatan sebanyak 4.4 peratus mengatasi pertumbuhan purata Sektor Pembuatan nasional iaitu sebanyak 0.8 peratus, seterusnya menjadikan kadar pertumbuhan Sektor Pembuatan di Sabah yang tertinggi di Malaysia.

Angka yang tertinggi dan terbaik ini tidak boleh dicapai tanpa perancangan yang teliti, serta dokongan dari pentadbiran yang benar-benar diyakini oleh pelabur. Sumbangan Sektor Pembuatan di dalam KDNK Sabah telah meningkat kepada RM6.03 bilion bersamaan 7.3 peratus pada tahun 2023 berbanding RM5.78 bilion bersamaan 7.0 peratus pada tahun 2022. Menerusi data ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri Sabah pada hari ini sedang mentadbir negeri pada landasan yang betul.

Amat bertepatan sekali, bila kerajaan negeri yang sedang berada di landasan yang tepat menghargai penjawat awam yang bersama-sama bertungkus lumus bekerja membantu kepimpinan. Barangkali mereka inilah Pipit Bisu Mangan Ta’ Uran yang dimaksudkan oleh Masidi. Jumlah bantuan sebulan gaji atau minium RM3,000 yang dterima penjawat awam negeri Sabah adalah antara yang tertinggi berbanding kerajaan negeri yang lain.

Bila ekonomi dalam keadaan yang stabil, baik dan teratur maka rakyat mendapat limpahannya. Jika mahu kesinambungan ini berterusan, maka rakyat negeri Sabah perlu mengekalkan kepimpinan yang sedia ada. Tepat sekali dengan kemakmuran negeri dan mensejahterakan rakyat yang menjadi tema belanjawan.

Bak kata pepatah Brunei, bagaikan ringan tulang, berat perut yang bermaksud rajin bekerja menyebabkan hidup senang. Inilah kerajaan yang rajin bekerja, memberikan kesenangan dan somo kerso kepada seluruh rakyatnya.

Bila sampai waktunya, balaslah kembali kerajinan ini dengan mandat yang lebih besar kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji untuk terus memimpin Kerajaan Negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Benih Padi Berkualiti: Kunci Kebangkitan Industri Padi dan Beras Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular