Oleh Wan Azrain Adnan
Ramai rakyat Malaysia telah menangguhkan perkahwinan ke usia yang lebih tua kerana kekangan kewangan. Situasi ini menyumbang kepada kadar kelahiran dan saiz isi rumah yang menurun. Pada masa sama, Generasi Sandwich berdepan dengan beban kewangan yang lebih berat.
Pada awal bulan November 2026, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia telah melancarkan Laporan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6), semasa Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2026 (PERKKS 26).
Fakta menarik. KPKM-6 merupakan Kajian Penduduk dan Keluarga yang keenam dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), setiap sepuluh tahun sejak tahun 1974. KPKM-6 melibatkan 16,273 kediaman di seluruh negara, dengan lima kumpulan responden: wanita dan lelaki yang pernah berkahwin, remaja, penduduk bujang dan warga emas.
Secara keseluruhan, skop KPKM-6 merangkumi lima aspek utama: aspirasi dan kesihatan remaja, perkahwinan, kesuburan dan perancangan keluarga, kehidupan berkeluarga dan kesejahteraan warga emas.
Laporan KPKM-6 menunjukkan rakyat Malaysia semakin lewat berkahwin, di mana purata umur perkahwinan pertama telah meningkat kepada 27.1 tahun (lelaki) dan 24 tahun (wanita).
Malah, ramai sebenarnya berhasrat untuk berkahwin agak lewat, di mana purata Umur Ingin Berkahwin ialah 33 tahun, dengan lelaki (34 tahun) dan wanita (31 tahun).
Meskipun begitu, 85% penduduk bujang masih memiliki hasrat untuk berkahwin dan berkeluarga. Tetapi, antara punca utama ramai masih belum berkahwin ialah: Tiada Calon Sesuai (50.6%) dan Faktor Kewangan (47.2%).
Menariknya, bagi lelaki, sebab utama masih belum berkahwin ialah Faktor Kewangan (55.9%) dan Tiada Calon Sesuai (50.2%). Sebaliknya, bagi wanita, sebab utama ialah Tiada Calon Sesuai (51.5%) dan Ingin Menikmati Kehidupan Bujang (31.0%).

Kekangan kewangan menjadi antara penghalang utama untuk berkahwin, memandangkan purata perbelanjaan perkahwinan minimum telah melonjak 36% dalam tempoh sepuluh tahun, daripada RM 20,047 (2014) kepada RM 27,332 (2024).
Ini tidaklah mengejutkan kerana majoriti pekerja di Malaysia memiliki pendapatan yang kecil. Menurut Laporan Survei Gaji & Upah Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2025, Median Gaji & Upah Bulanan pekerja di Malaysia hanyalah RM 2,940. Kecuali WP Putrajaya, WP Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, lain-lain negeri dan wilayah telah merekodkan Median Gaji & Upah Bulanan yang lebih rendah.
Dengan pendapatan yang kecil, sudah pasti ramai bergelut untuk menyimpan wang, dan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk memiliki simpanan yang mencukupi untuk berkahwin. Tidak boleh dinafikan, ramai juga yang akan berhutang untuk berkahwin.
Malangnya, faktor kewangan yang menyebabkan ramai lambat berkahwin, turut menjadi antara punca utama perceraian. Kedua-dua lelaki dan wanita menyatakan tiga masalah utama yang dihadapi oleh keluarga ialah: Perbelanjaan Keperluan Keluarga, Perbelanjaan Pendidikan Anak, Perbelanjaan Perubatan Keluarga.
Seterusnya, Laporan KPKM-6 menunjukkan purata saiz isi rumah di Malaysia telah menurun daripada 4.0 orang (2014) kepada 3.8 orang (2024). Situasi ini selari dengan statistik yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di dalam Perangkaan Penting Malaysia 2026 yang diterbitkan pada pertengahan bulan Oktober 2026.
Menurut laporan DOSM berkenaan, Kadar Kelahiran Kasar atau Crude Birth Rate (CBR) negara telah merekodkan penurunan ketara sepanjang 25 tahun (2000 – 2025), daripada 22.9 kepada 11.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.
Pada tahun 2025, semua negeri dan wilayah telah merekodkan penurunan CBR. Terengganu (18.7 kelahiran) telah merekodkan CBR tertinggi, dan terendah oleh Pulau Pinang (9.3 kelahiran) bagi setiap 1,000 penduduk.

Laporan DOSM berkenaan turut menunjukkan, sepanjang tahun 2016 – 2025, purata umur ibu pada kelahiran pertama telah meningkat daripada 27.5 tahun kepada 28.4 tahun.
Pada tahun 2025, etnik Cina (31.4 tahun) telah merekodkan purata umur ibu tertinggi, disusuli India (30.5 tahun), Melayu (28.1 tahun) dan Bumiputera Lain (26.8 tahun).

Sementara itu, Laporan KPKM-6 menunjukkan kesejahteraan keluarga melibatkan sokongan serta bantuan ahli keluarga. Hampir 60% ibu bapa warga emas tinggal bersama anak-anak. Pada masa sama, ramai anak-anak mengharapkan ibu bapa menjaga cucu-cucu yang berusia enam tahun ke bawah.
Manakala, sebahagian besar ibu bapa warga emas bergantung kepada anak-anak sebagai sumber pendapatan. Tiga sumber utama pendapatan warga emas ialah: Sumber Kewangan Daripada Anak (45.9%), Pencen (24.8%), Gaji/Upah (12.6%).
Oleh kerana itu, ramai generasi ‘muda’ sekarang tergolong di dalam Generasi Sandwich yang terpaksa memikul tanggungjawab besar merentasi tiga generasi keluarga. Secara amnya, Generasi Sandwich merujuk kepada golongan dewasa bekerja yang memikul tanggungjawab menguruskan keperluan anak-anak dan ibu bapa, selain keperluan diri sendiri serta suami atau isteri.
Berdasarkan Laporan The Sandwich Generation: The Case for a Consumption-Based Contributory Pension yang disediakan oleh Amjad Rabi dan Norma Mansor dari Social Wellbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya pada bulan September 2024, Generasi Sandwich semakin prevalen di Malaysia tatkala peningkatan jangkaan hayat dan rakyat menua.
Lebih-lebih lagi, di dalam masyarakat Malaysia yang berteraskan nilai budaya dan agama, anak-anak lazimnya diharap menjaga ibu bapa yang lanjut usia.
Malaysia Retirement Survey (MARS) yang dikendalikan oleh SWRC menunjukkan 55.0% daripada responden warga tua bergantung kepada bantuan kewangan daripada anak-anak, dengan purata sumbangan bulanan sebanyak RM 526.

Kebergantungan tinggi ini berkait rapat dengan jumlah simpanan hari tua yang tidak mencukupi. Data MARS menunjukkan hanya 5.1% warga tua yang memiliki simpanan KWSP melangkaui umur 65 tahun. Maka, kebergantungan tinggi ini memberi tekanan kewangan yang hebat kepada Generasi Sandwich, yang mendepani kos sara hidup yang terus meningkat dengan pendapatan yang masih kecil.
Hakikatnya, paras pendapatan rakyat yang kekal rendah memberi implikasi meluas kepada negara. Rakyat terpaksa menangguhkan perkahwinan kerana tidak berkemampuan. Sedikit sebanyak, kelewatan berkahwin ini pula telah menyebabkan purata umur ibu pada kelahiran pertama telah meningkat.
Bagi jangka masa panjang, situasi ini akan merubah komposisi masyarakat.
Tambahan lagi, pendapatan yang kecil tidak membolehkan ramai membina simpanan hari tua yang mencukupi untuk kehidupan yang selesa. Akhirnya, ramai ibu bapa warga tua terpaksa bergantung tinggi kepada sumbangan kewangan anak-anak, yang memikul tanggungjawab besar menguruskan keperluan tiga generasi.



