HomeIsu tempatanPPK Wanita USIA bakal jadi 'Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan'

PPK Wanita USIA bakal jadi ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) berjaya menubuhkan Pusat Pembangunan Komuniti (PPK) Wanita USIA yang bakal menjadi platform ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’.

Pusat yang dibangunkan  di Tanjung Aru berhampiran Masjid Al-Kautsar itu dicadang untuk dijadikan sebagai Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) selain pusat kegiatan pemerkasaan wanita melalui program yang menjurus kepada pembangunan modal insan.

Ia termasuklah penguasaan ilmu pengetahuan, pengajian agama dan kelas-kelas al-Quran, kaunseling kekeluargaan serta aktiviti kemahiran.

Pusat yang dibina dengan peruntukkan sebanyak RM200,000 dari kerajaan negeri itu dirasmikan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri.

Hadir sama Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad; Timbalan Yang Dipertua, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan; Ketua Wanita USIA, Datuk Aminah Aching; dan Ketua Belia USIA, Datuk Jamawi Jaafar.

Hadir sama, Setiausaha Agung, Datuk Iman Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Salsidu Ibrahim.

Terdahulu ketika berucap, Samad berharap PPK itu diurus tadbir secara teratur dan konsisten kerana ia memberi impak signifikan kepada kesejahteraan ahli USIA dan masyarakat sekitarnya, khususnya di kawasan Tanjung Aru dan Kota Kinabalu.

“Secara peribadi, saya sangat dekat dan mengikuti setiap perkembangan USIA dalam penganjuran aktiviti keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan.

“Lebih-lebih lagi sejak di bawah kepimpinan Datuk Sapawi Ahmad selaku Yang Dipertua, nama USIA semakin terpancar samada di peringkat bahagian dan peringkat negeri hatta di peringkat nasional juga,” katanya.

Samad yang juga Naib Yang Dipertua USIA berkata, beliau menyedari usaha gigih Sapawi serta pimpinan dalam usaha merealisasikan Pelan Strategik Pembugaran USIA.

Katanya, pengwujudan PPK Wanita USIA Negeri Sabah itu adalah salah satu inisiatif kepemimpinan USIA untuk menjadikannya sebagai platform `Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’.

Beliau yakin dengan terbinanya PPK itu akan menjadi wadah serta berperanan sebagai pusat aktiviti pemerkasaan wanita dan pembangunan dakwah.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang mengembleng usaha bersama bagi melancarkan pengoperasiannya.

“Kerjasama ini amat penting kerana setiap jabatan atau agensi mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza.

“Badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak swasta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Sementara itu, Aminah dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri atas penyediaan peruntukan RM200,000 bagi pembinaan pusat berkenaan.

Beliau berharap pusat itu akan menjadi gedung ilmu untuk komuniti setempat, selain berhasrat untuk memperbesarkannya lagi pada masa depan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PSI Universiti Oxford, UMS catat sejarah jalin kerjasama dalam penyelidikan pandemik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular