HomePolitikBung Moktar Diminta Letak Jawatan Sementara Sebagai Ketua Umno Sabah Berikutan Tuduhan...

Bung Moktar Diminta Letak Jawatan Sementara Sebagai Ketua Umno Sabah Berikutan Tuduhan Rasuah

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Knabalu — Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, digesa untuk meletakkan jawatan sementara sebagai Ketua Umno Sabah selepas Mahkamah Rayuan memerintahkan beliau dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, untuk membela diri atas tuduhan rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta Felcra.

Aktivis hak Sabah, James Ligunjang, berkata langkah ini adalah penting bagi mengekalkan integriti institusi politik dan kepercayaan rakyat. Beliau menegaskan bahawa pemimpin politik yang menghadapi tuduhan serius perlu mengambil cuti sementara sehingga proses mahkamah selesai.

“Dalam kes membabitkan tuduhan serius seperti rasuah, adalah tidak sesuai secara moral dan etika bagi individu tersebut untuk terus memegang jawatan awam atau politik sehingga kes itu selesai,” katanya

Ligunjang, Yang juga Bekas Adun Patagas menambah bahawa mengekalkan jawatan dalam situasi ini boleh mencetuskan persepsi konflik kepentingan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keadilan proses perundangan.

“Jika Bung Moktar meletakkan jawatan sementara, ia akan membantu memastikan keadilan terpelihara serta mengurangkan tekanan politik yang mungkin timbul sepanjang proses mahkamah berjalan,” katanya seperti yang disiarkan portal FMT semalam.

Semalam , Bung yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, telah didakwa pada Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Madhi, melalui isterinya, Zizie. Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan pelaburan Felcra dalam amanah saham Public Mutual.

Zizie pula menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dalam membantu Bung Moktar melaksanakan perbuatan tersebut. Mahkamah Sesyen sebelum ini memutuskan bahawa terdapat kes prima facie, dan pasangan itu diarahkan untuk membela diri.

Walau bagaimanapun, pada September 2022, Mahkamah Tinggi membebaskan mereka atas alasan teknikal melalui permohonan semakan. Namun, Mahkamah Rayuan kini telah membatalkan keputusan tersebut dan menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi bertindak terlalu awal dalam membuat semakan terhadap kes ini.

Desakan agar Bung Moktar meletakkan jawatan sementara turut mencerminkan tekanan yang dihadapi oleh Umno Sabah untuk mengekalkan keyakinan rakyat dalam situasi yang semakin mencabar. Pengamat politik melihat keputusan ini sebagai ujian penting bagi kredibiliti dan keupayaan Umno Sabah untuk menangani krisis integriti di kalangan kepimpinannya.

Keputusan mahkamah seterusnya akan menjadi penentu kepada perjalanan politik Bung Moktar serta imej Umno di Sabah. Sehingga itu, semua pihak kini menanti perkembangan lanjut dalam kes ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Aplikasi GoNet mudahkan pengguna buat tempahan fasiliti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular