HomeUtamaDBKK cadang kadar lesen perhotelan dikaji semula

DBKK cadang kadar lesen perhotelan dikaji semula

Read Time:1 Minute, 25 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencadangkan agar kadar lesen perhotelan terutama di Bandaraya Kota Kinabalu dikaji semula dan dikembalikan pada kadar lama yang diperkenalkan pada tahun 1966.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, kadar tersebut sebelum ini dikurangkan secara pentadbiran pada tahun 1989 berikutan keadaan ekonomi semasa tidak stabil dan kehadiran pelancong berkurangan.

Katanya, industri perhotelan yang memperoleh keuntungan daripada kehadiran pelancong sewajarnya mengambil peranan dalam memastikan Bandaraya Kota Kinabalu ini sentiasa mengekalkan kebersihan dan keindahan sekitar.

“Sebenarnya (kadar) lesen ini telah diperkenalkan lama sejak 1966 lagi, jadi kita telah kemukakan (cadangan) kepada Kabinet negeri untuk melihat kembali kadar yang lama.  Nanti Kabinet akan buat keputusan.

“Sudah tentu industri yang mendapat keuntungan daripada kehadiran pelancong yang ramai ini sewajarnya mengambil peranan bagi memastikan bandaraya kita ini sentiasa mengekalkan kebersihan dan keindahan untuk memastikan pelancong terus datang ke sini.

“Sekiranya DBKK tidak mempunyai dana yang mencukupi , sudah tentu banyak kerja-kerja ataupun tanggungjawab yang perlu dibuat oleh DBKK tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Tandas Sedunia peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.

Terdahulu, sambutan Hari Tandas Sedunia peringkat Bandaraya Kota Kinabalu adalah salah satu usaha berterusan DBKK dalam melaksanakan Kempen Pembudayaan Tandas Bersih melibatkan para pengguna tandas awam di Bandaraya Kota Kinabalu.

Fokus utama sambutan kali ini, adalah memantapkan pembudayaan tandas bersih dan mendidik masyarakat agar menjadi pengguna tandas yang bertanggungjawab dan secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti pengurusan tandas awam ke status Bersih, Menawan, Wangi (BMW).

DBKK juga melaksanakan aktiviti pengauditan tandas-tandas awam di Bandaraya Kota Kinabalu dan mengiktiraf tandas-tandas awam yang mencapai standard kebersihan dan tandas BMW.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ambil tindakan drastik dua pemilik akaun TikTok sebar tuduhan fitnah –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular