HomeUtamaMahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga 6...

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga 6 Disember

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 Disember sebagai tarikh untuk mendengar hujah lanjut pihak-pihak berkaitan Perkara 128(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dalam kes cabaran terhadap Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 oleh Badan Bertindak Hak-Hak Sabah (SABAR).

Hakim Alexander Siew How Wai menetapkan tarikh itu selepas sesi perbicaraan pada Jumaat yang bertujuan mendengar dua bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak defendan.

Bantahan tersebut melibatkan persoalan sama ada Mahkamah Tinggi di sini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut dan sama ada SABAR mempunyai locus standi untuk meneruskan tindakan saman itu.

Pengerusi SABAR, Datuk Dr Johan Arriffin Samad, memfailkan saman pemula pada September 2023, mempersoalkan kesahihan TSA 2012 yang mengehadkan sempadan maritim negeri Sabah kepada hanya tiga batu nautika. Dalam saman tersebut, Kerajaan Persekutuan Malaysia dinamakan sebagai defendan tunggal.

Pada 20 September lalu, Mahkamah Tinggi menolak tawaran bantuan Peguam Negara Sabah dan Sarawak (SAGC) sebagai amicus curiae (pihak ketiga yang memberikan pandangan undang-undang).

Pihak plaintif antara lain memohon perisytiharan berikut:
1. Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 tidak terpakai, tidak berperlembagaan, tidak sah, dan terbatal di Sabah selepas 19 Jun 2012.
2. Wilayah Sabah, selepas pembatalan Proklamasi Darurat 1969 pada 19 Jun 2012, termasuk pelantar benua berdasarkan Perintah Dalam Majlis (North Borneo Alteration of Boundaries) 1954.
3. Ordinan Perlombongan 1960 adalah sah di Sabah selepas 19 Jun 2012.
4. Seksyen 3(3) Akta Laut Wilayah 2012, yang mengehadkan perairan wilayah Sabah kepada tiga batu nautika, tidak terpakai, tidak berperlembagaan, tidak sah, dan terbatal di Sabah mulai 22 Jun 2012.
5. Perairan wilayah Sabah selepas pembatalan Proklamasi Darurat 1969 pada 19 Jun 2012 termasuk 12 batu nautika di bawah Konvensyen Laut Wilayah dan Zon Bersebelahan 1958 serta Perintah Dalam Majlis (North Borneo Definition of Boundaries) 1958.

Peguam Roland Cheng mewakili pihak plaintif, manakala Peguam Persekutuan Kanan Ahmad Hanir Hambaly mewakili pihak defendan.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular