HomeUtamaTandas bersih kriteria utama perbaharui lesen perniagaan

Tandas bersih kriteria utama perbaharui lesen perniagaan

Read Time:1 Minute, 19 Second

Kota Kinabalu : Tahap kebersihan tandas premis makanan akan dijadikan sebagai kriteria utama bagi tujuan pembaharuan lesen perniagaan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, tandas premis makanan perlu mendapat sekurang-kurangnya tahap tiga Bintang, mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penarafan Bintang Tandas Awam Di Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, ia adalah bagi meningkatkan tahap kebersihan tandas dan premis makanan di bandaraya Kota Kinabalu.

“Setakat Oktober lalu, DBKK telah memeriksa dan menggredkan sejumlah 1,695 premis makanan. Daripada jumlah ini, sejumlah 448 premis makanan mendapat Gred A; 1,242 premis mendapat Gred B; dan lima premis makanan mendapat Gred C.

“Disamping itu, DBKK juga telah memeriksa dan memberikan penarafan bintang kepada 1,107 tandas di premis-premis makanan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 246 tandas premis makanan telah mencapai taraf Bersih, Menawan, Wangi (BMW) iaitu tandas yang mendapat taraf empat atau lima Bintang.

“Manakala, sejumlah 280 tandas premis makanan mencapai taraf tiga bintang, dan selebihnya mendapat taraf dua bintang ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di sini semalam.

Sabin berkata, bagi menangani masalah Lipas, Lalat, Tikus dan Nyamuk (LiLaTiN) di premis makanan, DBKK akan menjadikan kawalan makhluk perosak secara berkala di premis makanan sebagai salah satu syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

“Oleh itu, saya menyeru dan menggesa semua pemilik premis makanan agar dapat mematuhi syarat-syarat ini kelak dan meningkatkan tahap kebersihan tandas dan premis masing-masing demi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandaraya yang lebih selamat, selesa, sihat dan sejahtera,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

KKCC 2024 serlah semangat perpaduan Sabah – Dr. Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular