HomeUtamaTaman-Taman Sabah rancang buka lebih banyak laluan pendakian ke Gunung Kinabalu

Taman-Taman Sabah rancang buka lebih banyak laluan pendakian ke Gunung Kinabalu

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu: Lebih banyak laluan pendakian ke Gunung Kinabalu dirancang untuk dibuka bagi mengurangkan kesesakan di laluan sedia ada selain membantu meningkatkan sumber ekonomi pelancongan tempatan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) Peter Lintar berkata, laluan baharu itu bertujuan bagi memberi pengalaman baharu kepada pendaki.

Selain itu katanya, ia juga dapat mempelbagaikan manfaat ekonomi ke daerah sekitar selain memelihara ekosistem gunung yang sensitif.

“Pada masa ini, laluan sedia ada ke Gunung Kinabalu sangat sesak. Apabila kami membuka tempahan dalam talian, slot untuk tempoh enam bulan habis ditempah dalam masa hanya dua hari.

“Permintaan tinggi ini juga menyebabkan kesesakan di laluan pendakian yang memberi kesan kepada pengalaman pendaki dan juga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Saintifik Marai-Parai–West Gurkha 2024 di sini semalam.

Peter berkata, laluan baharu itu nanti akan meliputi daerah Kota Belud dan Kota Marudu.

Katanya, ia juga merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan pelancongan di kawasan berkenaan selain daerah Ranau. 

“Kami bercadang untuk mencipta pendakian lebih daripada sehari terutama bagi mereka yang mencari pengembaraan lebih mencabar dan langkah itu juga akan membantu menyebarkan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat terutama di Kota Belud dan Kota Marudu,” katanya.

Peter berkata, rancangan itu termasuk membuka laluan di kawasan seperti Gurkha Hut dan Sayap yang menawarkan flora dan fauna unik yang tidak terdapat di tempat lain di gunung itu.

Tambahnya, penyelidik telah menemui spesies tumbuhan baharu di sepanjang laluan ini bagi menambah daya tarikan kawasan tersebut.

“Kawasan ini menawarkan perspektif berbeza terhadap Gunung Kinabalu, dengan beberapa bahagian mempunyai pendakian hampir menegak sehingga 90 darjah.

“Cabaran seperti ini pasti menarik minat pendaki yang mencari pengalaman mendebarkan,” katanya.

Beliau berkata,  kebanyakan pendaki hanya tertumpu kepada puncak tertinggi, Low’s Peak, pada ketinggian lebih 4,000 meter.

Menurutnya, Gunung Kinabalu mempunyai enam puncak yang berbeza, dan TTS menggalakkan pendaki untuk meneroka kesemuanya.

“Ramai yang berfikir mereka telah menakluk Gunung Kinabalu setelah sampai ke satu puncak, tetapi kemenangan sebenar adalah mencapai kesemua enam puncak,” katanya.

Walaupun semua puncak boleh diakses dari laluan yang sama, pembukaan laluan baharu akan memudahkan pendaki untuk meneroka lebih banyak puncak.

Katanya, pihaknya berharap akan dapat memuktamadkan dan membuka laluan baharu ini secepat mungkin untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari pendaki seluruh dunia. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Gesaan Ketua Pemuda Umno Sabah Tidak berasas, tiada keperluan Ketua Menteri...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular