Keningau : Para peladang dan masyarakat setempat diseru untuk mendapatkan perkhidmatan mekanisasi dan automasi ladang yang disediakan Pertubuhan Peladang (PP) khususnya Pertubuhan Peladang Negeri Jentera (PPN Jentera) yang menawarkan bayaran perkhidmatan berpatutan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia adalah selaras dengan hasrat Kerajaan yang memberi penekanan terhadap pemodenan industri pertanian seperti penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi.
Katanya, melalui RP-4 RMKe-12, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah membelanjakan RM9.89 juta untuk membekalkan jentera dan peralatan pertanian kepada 19 buah Pertubuhan Peladang Negeri (Bahagian Kejenteraan) di seluruh negara termasuklah Sabah.
Menurutnya, ini adalah bagi memenuhi sebahagian perkhidmatan mekanisasi dan automasi bagi memperkasakan perkhidmatan kejenteraan.
Arthur berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Jentera Di Bawah Program Pengukuhan Dan Pemodenan Khidmat Mekanisasi & Automasi Agromakanan 2024 bertempat di Pejabat Operasi, Pertubuhan Peladang Negeri (Jentera) Keningau.
Katanya, Sabah memerlukan sejumlah 800 buah jentera merangkumi 480 buah jentera pembajak dan 320 buah jentuai bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kejenteraan di Sabah.
“Pada masa ini keseluruhan perkhidmatan jentera yang melibatkan PPK, PPN dan sektor swasta adalah berjumlah 431 buah merangkumi 265 buah traktor dan 166 buah jentuai.
“Oleh yang demikian peruntukan yang agak besar perlu disediakan bagi membekalkan traktor baharu dan jentuai yang sesuai dengan keperluan dan keadaan geografi bumi Sabah,” katanya.
Bersempena majlis tersebut, sebanyak 30 buah jentera dan peralatan pertanian telah diserahkan kepada tiga buah PPN Jentera Negeri Sabah dengan nilai keseluruhan RM3.813 juta.
Antaranya pembekalan lima buah traktor full rubber track, dua buah lori self-loader, tiga buah traktor semi crawler track, dua buah traktor empat roda, empat buah jentuai mini, tiga buah rotary tiller dan satu unit dron.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Mohd Fauzi Badron dalam ucapan berkata, sehingga September lalu, 19 buah PPN (Jentera) di seluruh negara beroperasi dan telah memberi perkhidmatan pembajakan di kawasan seluas 38,112 hektar dan penuaian padi di kawasan seluas 23,520.41 hektar.
Katanya, jumlah keseluruhan pesawah yang menerima faedah seramai 15,248 orang bagi perkhidmatan pembajakan dan 15,815 orang bagi perkhidmatan penuaian.
Menurutnya lagi tumpuan operasi PPN (Jentera) di seluruh negara ialah di kawasan sawah padi yang bermasalah dan tidak dimasuki pemilik jentera swasta.
“Peranan sebagai penimbal harga dengan kadar upah perkhidmatan yang sama atau lebih rendah dari pengusaha swasta.
“Pengunaan jentera ladang secara intensif dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian dan meningkatkan daya saing produk pertanian di samping mengurangkan penggunaan tenaga manusia,” katanya.
Arthur yakin sekiranya usaha pemodenan sektor pertanian khusus dalam automasi dan mekanisasi stigma anak muda terhadap industri ini akan dapat di kikis seterusnya meningkatkan penglibatan anak-anak muda dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara. – SABAH MEDIA