HomeIsu tempatanIBTP UMS perkasa bidang konservasi hidupan liar melalui kerjasama antarabangsa

IBTP UMS perkasa bidang konservasi hidupan liar melalui kerjasama antarabangsa

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan endokrinologi hidupan liar dengan memperluaskan kerjasama antarabangsa bersama Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Chiang Mai (CMU), Thailand. 

Kerjasama antara dua institusi ini telah dimeterai melalui Surat Niat (LoI) baru-baru ini di Fakulti Perubatan Veterinar, CMU. 

Antara bentuk kerjasama yang akan dijalankan termasuklah pembangunan kapasiti kakitangan Makmal Endokrinologi IBTP, pertukaran  pelajar dan penganjuran seminar antarabangsa.

Pengarah IBTP, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata, perkongsian strategik ini akan memberikan impak besar dalam bidang fisiologi pemuliharaan hidupan liar di Borneo. 

“Dengan menggabungkan kepakaran IBTP dalam penyelidikan biodiversiti tropika dan pengalaman kakitangan CMU dalam sains veterinar dan kesihatan hidupan liar, IBTP akan lebih berupaya untuk menyumbang dalam usaha memulihara biodiversiti di Sabah.

“Perkongsian ini adalah bukti komitmen kami untuk meningkatkan usaha pemuliharaan biodiversiti melalui kerjasama antarabangsa,” katanya. 

Fiffy turut memaklumkan, International Sympositerum on Conservation Biology and Biodiversity yang telah diadakan julung kalinya pada 22 November lalu akan diadakan sebagai acara  tahunan yang diadakan secara bergilir antara UMS dan CMU. 

“Simposium sulung tahun ini yang berlangsung di CMU berfungsi sebagai platform penting untuk bertukar idea, berkongsi penemuan penyelidikan, dan membina jaringan bagi menangani cabaran pemuliharaan global. 

“Simposium kedua dijadualkan berlangsung di UMS pada tahun 2025, akan menjadi peluang untuk menonjolkan keunikan kepelbagaian biodiversiti Sabah dan usaha pemuliharaannya,” katanya. 

Usaha kolaborasi berkaitan penyelidikan hidupan liar ini katanya turut disokong menerusi pelancaran Makmal Endokrinologi Hidupan Liar pertama di Borneo pada bulan Jun 2023 hasil kerjasama IBTP dengan Smitsonian Conservation Biology  Institute (SCBI).

“Kewujudan makmal ini telah membuka peluang kepada para penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk lebih memahami kesan perubahan habitat, iklim dan pengurusan hidupan liar terhadap fisiologi haiwan.

“Justeru itu, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak SCBI kerana telah melatih dua kakitangan IBTP, iaitu Ketua Penolong Pegawai Sains, Mohd. Afifi Mohd Nasir dan Penolong Pegawai Sains, Stevson Justin A untuk menjalankan makmal endokrinogi hidupan liar IBTP,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, projek pertama yang kini dijalankan oleh Makmal Endokrinologi Hidupan Liar adalah untuk melihat kesan kaedah pengurusan terhadap tahap hormon kortisol gajah Borneo di ladang kelapa sawit di Sabah. 

Projek tersebut ditaja oleh dana dalaman UMS, Skim Lantikan Pensyarah Baru (SLPB) yang diketuai oleh pensyarah kanan IBTP, Dr. Nurzhafarina Othman.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Gandingan ayah, anak cipta legasi keluarga cemerlang dalam akademik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular