Tuaran: Pelaksanaan program atau kempen yang menekankan kepentingan kesihatan serta kesejahteraan menyeluruh kepada golongan wanita perlu diberi keutamaan termasuk oleh badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata usaha seperti ini akan membantu rakyat Sabah, khususnya golongan wanita dengan memberikan mereka pendidikan tambahan mengenai gaya hidup yang mementingkan kesihatan fizikal dan mental.
“Program HEART atau Holistic Empowerment for Resilient and Thriving Women yang dianjurkan oleh Persatuan SEED (Sabah Social Entrepreneurs and EcoDevelopment) ini adalah satu langkah yang amat penting bagi kita semua.
“Ia bukan sahaja bertujuan memberikan akses kepada perkhidmatan kesihatan holistik kepada wanita Sabah, tetapi juga untuk menggalakkan pemberdayaan wanita dalam menguruskan kesejahteraan diri mereka, baik dari aspek fizikal, mental, mahupun emosi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Roadshow Inisiatif HEART ke-2 di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.
Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata sesungguhnya program seperti inilah yang amat diperlukan iaitu sokongan yang menyeluruh untuk kesejahteraan mental, fizikal, dan emosi wanita.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) yang telah memberikan sokongan kewangan kepada program ini. Tanpa sokongan JHEWA, program ini tidak akan dapat dibawa kepada lebih ramai wanita di Sabah, dan saya sangat mengalu-alukan kerjasama ini.
“Usaha-usaha seperti ini, yang melibatkan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat, adalah contoh terbaik tentang bagaimana kita dapat mencipta perubahan yang nyata dan memberi impak yang besar kepada kehidupan wanita Sabah,” katanya.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada SEED kerana telah memilih Tuaran untuk melaksanakan program yang amat bermanfaat ini. – SABAH MEDIA