Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Malaysia sekadar meraih dua pingat perak dan satu pingat gangsa pada hari pertama Kejohanan Olahraga Remaja SEA Bawah 18 yang berlangsung di Stadium Likas di sini hari ini.
Pingat perak Malaysia disumbangkan menerusi kuartet 4×400 meter wanita dengan catatan masa 3:55.93.
Emas bagi acara itu dimenangi kuartet Thailand dengan catatan masa 3:54.30 dan gangsa dimenangi kuartet Indonesia dengan catatan masa 4:02.87.
Satu lagi pingat perak disumbangkan oleh kuartet Malaysia menerusi acara 4×400 meter lelaki dengan catatan masa 3:18.18 dan emas dimenangi kuartet mewakili Thailand.
Pingat gangsa tunggal Malaysia hari ini disumbangkan menerusi atlet Efyna Ares Lizod bagi acara 3,000 meter dengan catatan masa 11:41.67.
Pingat emas dan perak bagi acara itu masing-masing dimenangi Luong Thi Khan (Vietnam) dengan catatan masa 10:18.88 dan Kingkaeophetr Bungthong (Thailand) dengan catatan masa 10:34.86.
Sementara itu Efyna mengakui gembira apabila dapat meraih gangsa seterusnya mewakili Malaysia pada kejohanan itu.
“Saya harap tahun depan saya dapat buat yang terbaik untuk buat catatan masa terbaik saya,” katanya.
Sehingga jam 6 petang tadi, Thailand mendahului kedudukan pungutan pingat dengan empat emas; satu perak dan satu gangsa.
Vietnam berada dikedudukan kedua dengan pungutan pingat tiga emas dan dua gangsa.
Manakala Indoneia satu emas; tiga perak dan dua gangsa. Malaysia menduduki tangga keempat dengan pungutan dua perak dan satu gangsa. – SABAH MEDIA