Oleh NORMIMIE DIUN / Video & Foto: YUSOF MOHAMMAD
KOTA KINABALU: “Mother India” merupakan sebuah restoran yang menampilkan citarasa masakan India Utara asli yang berbeza dari restoran lain.
Restoran Mother India telah beroperasi sejak tahun 2017 dan terletak di pusat membeli-belah Oceanus Waterfront, di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah.
Pengurus F&B Restoran Mother India, Dr. Shelly Bhardwaj, berkata restoran ini telah menjadi tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa kerana lokasinya yang menarik, menghadap ke Laut Cina Selatan.
“Sambil menikmati makanan yang lazat, para tetamu juga disajikan dengan pemandangan alam semula jadi tepi laut yang indah, termasuk matahari terbenam yang memukau pada waktu senja,” katanya ketika ditemui kru Sabah Media, baru-baru ini.
Menurut Dr. Shelly, restoran ini diusahakan oleh tiga individu yang dikagumi, iaitu Datuk DJ Dave, Datuk Othman Walat, dan Dr. Jagajeet Singh.
“Restoran kami menyediakan pelbagai sajian asli India Utara seperti Tandoori Chicken, Chicken Lasooni, Fish Tikka Masala, Butter Chicken, Garlic & Cheese Naan, Mutton Rogan Josh, Saag Paneer, Biryani Rice, Onion Bhaji, Mango Lassi, Aloo Gobi, Pani Puri, samosa, dan banyak lagi.
“Kami juga menawarkan aiskrim buatan sendiri (homemade ice cream) dengan perisa seperti pistachio, mangga, dan badam. Aiskrim ini merupakan antara pencuci mulut yang paling digemari pengunjung kami.
“Selain itu, rempah ratus yang digunakan dalam setiap resepi adalah asli dan kebanyakannya diimport dari India,” katanya.
Restoran ini dikendalikan oleh lapan pekerja, termasuk empat tukang masak mahir dari India Utara. Dr. Shelly turut dibantu oleh seorang pengurus dari India, Nagesh Thakur.
Selain pengunjung tempatan, restoran ini juga sering dikunjungi oleh pelancong dari Korea, China, Jerman, Amerika Syarikat, Brunei, Singapura, Brazil, dan banyak lagi negara.
Dr. Shelly turut memaklumkan bahawa Restoran Mother India telah memenangi Tripadvisor: Travellers’ Choice Awards 2024.
“Orang Sabah seharusnya berbangga kerana restoran ini, yang terletak di negeri Sabah, telah memenangi Tripadvisor: Travellers’ Choice Awards 2024. Anugerah ini berdasarkan ulasan dan maklum balas berjuta-juta pengembara di Tripadvisor, yang meletakkan restoran kami dalam 10% teratas di seluruh dunia,” ujarnya.
Restoran Mother India dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 10 malam.
Sementara itu, seorang pelancong dari Finland, Olla, menyatakan kepuasan hatinya menikmati makanan di restoran tersebut.
“Makanan di sini sangat lazat, terutamanya Saag Paneer dan Garlic Naan. Kami sangat seronok menikmatinya,” katanya, yang pertama kali mengunjungi Sabah dan makan di restoran ini.
Bagi pengunjung tempatan, Malliga Rajaram, beliau berkata telah beberapa kali datang ke restoran Mother India dan sering membawa rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia untuk menikmati makanan di situ.
“Setiap kali rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia datang ke Sabah, saya pasti membawa mereka ke restoran Mother India. Saya suka makanan di sini kerana sangat sedap dan berbeza dari yang lain, seperti Biryani Rice, Naan, dan Butter Chicken,” katanya.