HomeUtamaIsu SMM, klip video ADUN disifatkan lebih kepada 'sakit hati' dan dendam

Isu SMM, klip video ADUN disifatkan lebih kepada ‘sakit hati’ dan dendam

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan isu kontroversi Sabah Mineral Management Sdn Bhd dan klip video beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah lebih kepada elemen ‘sakit hati’ dan dendam.

Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Emmie Datuk Martin Idang berkata, ia berikutan keputusan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang membatalkan Lesen Mencarigali (Prospecting Licence).

“Keputusan yang dibuat secara pentadbiran ini dijadikan ‘kuda tunggangan’ oleh sesetengah pihak yang ingin mengambil kesempatan untuk mendesak Ketua Menteri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal supaya Pilihan Raya Negeri ke-17 dapat diadakan lebih awal.

“Niat buruk ini hanya akan merugikan rakyat memandangkan Belanjawan Negeri Sabah 2025 baru sahaja dibentangkan di Sidang DUN yang lalu dengan menekankan berkaitan kebajikan dan kemudahan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Emmie berkata, pergerakan Beliawanis sentiasa bersikap neutral dalam membuat pertimbangan apabila tidak mendesak mana-mana ADUN daripada parti UMNO yang juga dalam proses penentuan keadilan oleh Mahkamah.

“Pada hemat kami, biarlah hukuman dan penentuan tersebut diadili dengan sebaiknya dengan prinsip ’innocent until proven guilty’.

“Jika, Pergerakan Puteri UMNO merasakan ada keperluan untuk Ketua Menteri untuk meletakkan jawatan, mereka seharusnya mendesak Pengerusi Perhubungan BN Sabah untuk terlebih dahulu meletakkan jawatan memandangkan pertuduhan telah dilakukan serta kes prima facie telah dibuktikan dan diperintah untuk membela diri.

“Berbanding tiada sebarang sabitan ataupun laporan kepada mana-mana pihak berkuasa ke atas Ketua Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Emmie berkata, Beliawanis Gagasan Rakyat turut menyelar kenyataan Pergerakan Puteri UMNO yang mendesak peletakan jawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Noor.

Katanya, desakan meletakkan jawatan Ketua Menteri itu adalah sangat tidak berasas dan bersifat mendahului siasatan pihak yang berwajib.

“Sayap Pergerakan Beliawanis berdiri teguh bersama pimpinan Gagasan Rakyat yang secara terbuka dan sukarela untuk bekerjasama dengan pihak berwajib bagi memastikan siasatan rapat dijalankan secara telus dan tanpa campur tangan mana-mana pihak demi memastikan rakyat mendapat maklumat yang sahih dan tepat berkaitan proses siasatan yang  sedang  berlangsung.

“ Di  samping  itu  juga, Sayap Pergerakan Beliawanis ingin menyatakan dengan tegas bahawa kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik yang digunakan oleh mana-mana parti politik sebagai alasan untuk melemahkan dan menjejaskan kelancaran pentadbiran Kerajaan demi kepentingan mana-mana parti politik,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Gempa bumi lemah dikesan di Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular