HomeUtamaKonsep bersifat universal wajar dijadikan prinsip utama

Konsep bersifat universal wajar dijadikan prinsip utama

Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Konsep bersifat universal yang merentasi sempadan agama dan bangsa wajar dijadikan sebagai prinsip utama dalam melaksanakan agenda pembangunan masyarakat dan pembinaan negara. 

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, konsep itu berupaya meminimumkan pergeseran dan pertelingkahan antara kelompok-kelompok dalam entiti masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, masyarakat dan negara mampu dibangunkan dan dibina ke tahap terbilang tanpa ada perselisihan dalam entitinya.

“Kita harus hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembangaan Persekutuan dan Rukun Negara. 

“Kebersatuan sentiasa diakui menjadi tunjang kukuh kepada lonjakan sebarang usaha ke arah kegemilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor bagi Graduan 2024 di sini pagi tadi.

Pada majlis sesi pertama itu, seramai 359 graduan menerima penganugerahan melibatkan Ijazah Doktor Falsafah; Ijazah Sarjana Secara Penyelidikan; Ijazah Sarjana Secara Kerja Kursus; Ijazah Doktor Kesihatan Awam dan Ijazah Doktor Perubatan.

Tun Juhar yang juga Canselor UMS berkata, rakyat juga perlu bersama-sama meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan individu atau kaum-kaum tertentu. 

“Semoga kemakmuran dan kerjasama antara kaum sentiasa berada pada tahap optimum, yang seterusnya diwarisi oleh generasi baharu dalam keadaan yang aman, makmur dan membangun,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Juhar mahu para graduan UMS terus belajar dan tingkatkan diri kerana pendidikan tidak berakhir di universiti.

Menurutnya, kemahiran berkomunikasi secara baik perlu terus dilatih bagi menyampaikan idea dengan jelas, berkesan, dan penuh keyakinan.

“Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru, walaupun ada risiko gagal kerana setiap kegagalan adalah peluang untuk belajar dan berkembang.

“Jangan berputus asa, teruskan berusaha dan ambil setiap peluang untuk memperbaiki diri. Seimbangkan kehidupan dengan kerjaya walaupun kerjaya itu penting, jangan lupakan kesejahteraan mental dan fizikal anda. 

“Pastikan ada masa untuk diri sendiri, keluarga, dan aktiviti rekreasi,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Isu Pelantikan TYT Sabah: KEADILAN Sabah seru hormati perlembagaan, henti sebar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular