Kota Kinabalu: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutama dalam bidang dakwah dan pendidikan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dakwah boleh disampaikan dengan lebih efektif jika pendakwah dan pertubuhan Islam terus memanfaatkan penggunaan ICT.
“Oleh itu, dalam era teknologi masa kini, saya berharap USIA akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu khususnya dalam siri dakwah mereka. Saya yakin teknologi serba canggih masa ini menyediakan banyak ruang untuk berdakwah secara bersepadu dan pemerolehan ilmu serta maklumat secara pantas.
“Kita perlu meneroka pelbagai disiplin ilmu seperti sains dan teknologi agar usaha dakwah yang dilakukan dapat dimantapkan dan menjadikan kita lebih proaktif dan inovatif.

“Kepelbagaian ilmu seperti ini akan mengupayakan kita untuk memberi kefahaman dalam menjayakan misi kita kepada golongan sasaran dengan lebih berkesan dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA Ke-38 bagi Tahun 2023, di sini semalam.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hajiji berkata, kekuatan ahli di semua daerah di seluruh negeri menzahirkan betapa USIA bukan setakat sebuah badan bukan kerajaan atau NGO Islam tertua di Sabah malah sebagai pertubuhan terbesar dengan peranan utamanya untuk memperkasa dan mempelbagai aktiviti dakwah.
Sambil mengakui sentiasa mengikuti rapat perkembangan program dan aktiviti yang dijalankan oleh USIA, Hajiji berkata pelaksanaan program USIA mendapat sambutan sekali gus membuktikan USIA merupakan pertubuhan yang sentiasa aktif dan berjaya melaksanakan program yang berimpak tinggi.
“Ternyata USIA tidak pernah lari daripada matlamat dan falsafah perjuangan asalnya, malah ia terus diperkasakan menerusi insiatif baharu oleh kepemimpinan baharu, iaitu Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024.
“Saya melihat teras dan objektif pelan strategik ini adalah selari dengan konsep kerajaan Malaysia MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, apabila ia mengambil pendekatan baharu `Mengutamakan yang lebih utama’ di mana ini juga menjadi pegangan kita dalam kerajaan negeri,” katanya.
Dalam hal ini, beliau turut berkeyakinan bahawa USIA di bawah kepimpinan yang ada sekarang serta penglibatan barisan pemimpin USIA termasuklah golongan professional dan kakitangan yang berdedikasi, mampu membawa lebih banyak kejayaan.
“Oleh itu, pilihlah ketua dan barisan kepimpinan yang benar-benar layak menerajui USIA serta sudah terbukti mampu memikul amanah.
“Ini untuk memastikan USIA terus melangkah ke hadapan dengan lebih gemilang. Saya juga berharap agar USIA ini tidak diheret dalam kancah politik kerana ia bertentangan dengan asas penubuhan dan perjuangannya.
“Kita mesti kekalkan USIA sebagai sebuah NGO Islam yang bebas politik, demi kebaikan dan masa depan ummah keseluruhannya. Saya yakin ahli USIA semua adalah kalangan bijak pandai dan akan menolak sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk mempolitikkan pertubuhan ini,” katanya. – SABAH MEDIA