HomeUtamaKota Kinabalu dan Langkawi capai akreditasi karbon lapangan terbang

Kota Kinabalu dan Langkawi capai akreditasi karbon lapangan terbang

Read Time:2 Minute, 31 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah mencapai Pemetaan Tahap 1 Akreditasi Karbon Lapangan Terbang (ACA) yang diberikan Airports Council International (ACI).

Pencapaian itu bagi mengiktiraf komitmen kedua-dua lapangan terbang berkenaan terhadap pengurusan karbon dan kelestarian alam sekitar.

Menurut ACI dalam laporan terbaharunya yang diterbitkan dalam laman sesawang, kedua-dua lapangan terbang itu kini menyertai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lebih 600 lapangan terbang lain di seluruh dunia dalam menuju ke arah pelepasan karbon sifar melalui program komprehensif tujuh tahap ACI.

Program ini menggalakkan tindakan kolektif terhadap pengurangan karbon dan perubahan iklim.

Ia berkata KLIA, yang telah diakreditasikan pada 2015, kini disokong pada Tahap 3 Pengoptimuman yang mencerminkan usaha berterusannya dalam pengurusan karbon dan kelestarian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata kelestarian ialah tema strategik utama untuk MAHB yang membimbing visi jangka panjang dan amalan operasi organisasi.

“Pencapaian ACA untuk KKIA dan LIA adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan alam sekitar dan kepimpinan dalam membangunkan sektor penerbangan yang lebih hijau di Malaysia,” katanya dalam laporan tersebut.

 Beliau berkata pengendali lapangan terbang itu giat berusaha untuk mendapatkan akreditasi bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta akhirnya bertujuan membawa akreditasi ACA ke seluruh rangkaian lapangan terbangnya.

Setakat ini, MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLport (lapangan terbang berlepas dan mendarat jarak pendek) serta satu lapangan terbang antarabangsa di Turkiye.

Program ACA adalah inisiatif global yang diterajui oleh ACI bagi membantu lapangan terbang untuk mengurus dan mengurangkan pelepasan karbon mereka.

Program ini menawarkan rangka kerja berstruktur yang direka untuk membimbing lapangan terbang daripada pemetaan karbon asas hingga mencapai pelepasan sifar karbon dengan tujuh tahap pensijilan.

Tujuh tahap berkenaan iaitu pemetaan, pengurangan, pengoptimuman, neutraliti, transformasi, peralihan dan mengekalkan keseimbangan sifar bersih pada Skop 1 dan 2 serta secara aktif menangani pelepasan Skop 3.

“Bagi KKIA dan LIA, dengan mencapai Tahap 1, kedua-dua lapangan terbang ini telah komited untuk menjalankan analisis menyeluruh terhadap pelepasan CO2 dan mencipta rancangan berstruktur untuk pengurangannya,” kata ACI.

Ia berkata KKIA memasang panel solar dengan kapasiti keseluruhan 3.8 megawatt (MW) dan memperkenalkan sistem pengurusan tenaga untuk meningkatkan kecekapan tenaga di seluruh operasinya.

 Manakala LIA telah menaik taraf pencahayaan lapangan terbang dari mentol halogen kepada pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) yang cekap tenaga serta mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 90 peratus.

Selain pencapaian berkenaan, KLIA juga dinobatkan sebagai Lapangan Terbang Besar Terbaik 2024 oleh Centre for Asia Pacific Aviation (CAPA) di Sidang Kemuncak Pemimpin Penerbangan CAPA dan Anugerah Kecemerlangan yang diadakan di Belgrade, Serbia baru-baru ini.

Anugerah global yang disampaikan oleh CAPA, mengiktiraf lapangan terbang yang mengendalikan lebih 30 juta penumpang setiap tahun yang menunjukkan kepimpinan strategik luar biasa dan sumbangan penting kepada industri penerbangan.

Ini menandakan kali kedua Malaysia Airports diberi penghormatan oleh CAPA, setelah sebelumnya memenangi Anugerah Lapangan Terbang Antarabangsa Besar Asia Pasifik CAPA pada 2014.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular