HomeUtamaKPDN Labuan sita minyak diesel, pacuan empat roda

KPDN Labuan sita minyak diesel, pacuan empat roda

Read Time:1 Minute, 41 Second

Labuan : Sebuah kenderaan pacuan empat roda berjaya disita bersama 500 liter minyak diesel dalam satu operasi (Ops) Tiris 3.0 – Kita Gempur  yang dijalankan di sebuah stesen minyak di daerah ini semalam.

Dalam operasi yang dijalankan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan kira-kira jam 9.49 pagi mendapati kenderaan itu turut mempunyai tangki besi tambahan pada struktur kenderaan.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, minyak yang disita disyaki Diesel itu telah selesai diisi ke dalam tangki besi tambahan tersebut dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM16,075.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.

“Bertindak atas aduan dan maklumat awam, risikan selama seminggu telah dijalankan oleh bahagian penguat kuasa KPDN Labuan sebelum serbuan dilakukan. 

“Kejayaan ini membuktikan maklumat orang awam sangat penting dalam membantu KPDN membanteras salah laku berkaitan barangan kawalan bersubsidi dan aktiviti penyelewengan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Junaidah berkata, Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukan mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan di bawah Akta ini boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Dalam pada itu, Junaidah berkata, KPDN Labuan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Wilayah ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan. 

Katanta, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan boleh menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran yang disediakan. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah sasar 500 Pemohon Sabah-MM2H tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular