HomePendapatMenangani Isu Lambakan Pekerja Asing Malaysia

Menangani Isu Lambakan Pekerja Asing Malaysia

Read Time:6 Minute, 12 Second

Beberapa hari lepas, semasa Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Sumber Manusia Malaysia telah memaklumkan bahawa, berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sehingga 30 September 2024, jumlah pekerja asing di Malaysia adalah 2,470,781 orang.

Menurut beliau, pekerja asing berkemahiran rendah merangkumi sebahagian besar guna tenaga kerja di dalam sektor ekonomi negara yang mengguna-pakai ramai tenaga kerja atau labour intensive.

Jumlah berkenaan meliputi 6 sektor formal dan 1 sektor informal yang di benarkan mengaji pekerja asing. Data JIM menunjukkan hampir 60% pekerja asing bekerja di dalam sektor Perkilangan (31.2%) dan Pembinaan (28.3%).

SektorJumlah Pekerja Asing% Pekerja Asing
Perkilangan771,32731.2 %
Pembinaan698,40728.3 %
Perkhidmatan448,57218.2 %
Perladangan266,60010.8 %
Pertanian183,0867.41 %
Pembantu Rumah102,0374.13 %
Perlombongan dan Pengkuarian7520.0003 %
Jumlah Keseluruhan2,470,781100 %

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) komited untuk menghadkan penglibatan pekerja asing berkemahiran rendah di dalam semua sektor ekonomi, selari dengan polisi Kerajaan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Fakta menarik: Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 – 2025), Kerajaan Malaysia telah menetapkan siling jumlah pekerja asing tidak melebihi 15% daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.

Pada bulan Oktober 2023, Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia di laporkan mengakui terdapat lambakan pekerja asing di dalam negara, di mana siling jumlah pekerja asing telah di lepasi.

Menurut beliau, jumlah pekerja asing ketika itu telah mencecah 2.7 juta orang. Sebaliknya, unjuran Kementerian Ekonomi Malaysia pula menetapkan jumlah pekerja asing yang sepatutnya berada di dalam negara adalah 2.4 juta orang.

Sebaliknya, pada penghujung bulan November 2024, semasa Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri Malaysia telah menafikan bahawa jumlah pekerja asing telah melepasi siling 15% yang di tetapkan. Berdasarkan jumlah sasaran keseluruhan tenaga kerja 17.2 juta orang, unjuran siling pekerja asing adalah 2.58 juta orang.

Malah, beliau menyatakan kuota pengambilan pekerja asing masih berbaki 400,000 orang, sebelum jumlah pekerja asing mencapai siling berkenaan menjelang Disember 2024.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula menunjukkan jumlah pekerja asing kembali meningkat setelah menurun dengan ketara sepanjang pandemik Covid-19 (2020 – 2022).

Pada tahun 2023, jumlah pekerja asing/ bukan warganegara adalah 2.004 juta orang, iaitu sekitar 13% daripada keseluruhan penduduk bekerja di dalam negara (15.8 juta orang).

Namun begitu, data-data pekerja asing sediada agak mengelirukan dan telah menimbulkan beberapa persoalan utama:

Dalam tempoh masa 1 tahun sehingga kini, nampaknya jumlah pekerja asing dalam negara telah menurun sekitar 300,000 orang, dari 2.7 juta orang kepada 2,470,781 orang. (kenyataan Timbalan Menteri)

Dalam tempoh masa 1 tahun juga, nampaknya jumlah pekerja asing telah meningkat sebanyak 400,000 orang, dari 2.004 juta orang kepada 2,470,781 orang. (laporan DOSM)

Adakah benar-benar berlaku penurunan atau peningkatan besar pekerja asing dalam tempoh masa yang singkat tersebut? 

Jika jumlah pekerja asing ketika ini adalah 2,470,781 orang dan unjuran siling pula adalah 2.58 juta orang, bagaimana kuota pengambilan pekerja asing masih ada berbaki sebanyak 400,000 orang?

Adakah dan pernahkah siling jumlah pekerja asing di lepasi?

Akibatnya, ramai pihak yang mempertikai kecekapan serta ketelusan Kerajaan Malaysia di dalam pengurusan pekerja asing. Malah, persepsi umum yang telah terbukti berulang-kali ialah pengurusan pekerja asing, melibatkan pihak kerajaan dan swasta, di selubungi dengan aktiviti salah-laku seperti: rasuah, pemerdagangan serta eksploitasi pekerja.   

Sebagai contoh. Pada bulan April 2023, dua pegawai kanan di pejabat Menteri Sumber Manusia Malaysia telah di soal-siasat atas dakwaan rasuah melibatkan agensi pengambilan pekerja asing oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beberapa bulan kemudian, Menteri Sumber Manusia baru telah di lantik.

Seterusnya, Malaysia juga terpalit dengan isu eksploitasi pekerja membabitkan pekerja asing. Ini termasuklah dakwaan:

memberi layanan buruk kepada pekerja

tidak membayar gaji kepada pekerja

tidak menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada pekerja

pembayaran recruitment fee oleh pekerja kepada broker pekerjaan, yang boleh menjurus kepada debt bondage, dan di kenal-pasti sebagai amalan buruh paksa oleh International Labour Organisation (ILO)

Oleh kerana itu, kedudukan Malaysia telah turun-naik di dalam laporan Trafficking in Persons (TIP) Report, dan kini berada di Tier 2, setelah berada di Tier 3 selama dua tahun (2021 – 2022).

TahunTIP Report Tier
20242
20232
20223
20213
20202
20192
20182

Fakta menarik. Laporan Trafficking in Persons (TIP) Report ialah satu laporan yang di terbitkan oleh Amerika Syarikat, yang menilai negara-negara di seluruh dunia berkaitan isu pemerdagangan manusia (human trafficking) dan buruh paksa (forced labour).

Tier 3 merupakan tahap terendah di dalam TIP Report.

Dan sejak beberapa tahun dahulu, ekoran dakwaan isu eksploitasi pekerja, beberapa syarikat terkemuka Malaysia telah di kenakan tindakan sekatan import oleh Amerika Syarikat.

Malah, sekatan import ke atas syarikat FGV sudah berlanjutan selama 4 tahun sehingga sekarang.

Selain isu lambakan pekerja asing berdaftar dan eksploitasi pekerja asing, Malaysia turut menghadapi isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang terus meruncing. Sehinggakan seolah-olah sempadan negara begitu ‘terbuka’ dan tidak terkawal yang membolehkan ramai PATI boleh keluar-masuk sesuka hati.

Menurut Menteri Dalam Negeri Malaysia, ramai PATI telah di tahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi pelbagai tindakan penguat-kuasaan:

TahunJumlah PATI Di Tahan
2024 (sehingga 4 November)41,234
202327,739
202222,804
202112,462
202022,671

Walaupun angka ini nampak agak besar, tetapi ianya sangat kecil berbanding dengan anggaran jumlah PATI di dalam negara yang sangat besar, mencecah jutaan orang.

Pada tahun 2016, Menteri Sumber Manusia Malaysia di laporkan berkata bahawa bagi setiap 10 pekerja asing, 7 orang merupakan pekerja asing haram. Pada ketika itu, jumlah pekerja asing sah adalah 1.9 juta orang. Ini bermakna pekerja asing haram berjumlah 4.43 juta orang!

Antara tahun 2018 – 2022, Bank Dunia pula mengganggarkan terdapat sekitar 1.2 – 3.5 juta migran tanpa dokumen di Malaysia, melebihi anggaran 1.4 – 2 juta migran dengan dokumen sah.

Pada bulan Mac 2024, Menteri Dalam Negeri Malaysia di laporkan berkata data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan terdapat seramai 1.1 juta PATI berada dalam negara. Lebih 50% daripada jumlah tersebut telah bersetuju untuk bekerja semula di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0, yang membenarkan majikan mendaftarkan secara sah pekerja yang merupakan PATI.

Manakala, baki jumlah PATI berkenaan boleh di kecualikan daripada tindakan undang-undang dengan pulang ke negara asal secara sukarela di bawah Program Repatriasi Migran.

Nampaknya jumlah sebenar PATI tidak di ketahui dengan jelas dan tepat. Malah, ramai berpendapat jumlah PATI di seluruh negara adalah sangat besar serta melebihi jumlah pekerja asing sah.

Apa yang jelas, Malaysia berdepan dengan dua isu besar, iaitu kebergantungan tinggi kepada pekerja asing dan jumlah PATI yang besar. Kedua-dua isu ini sukar dan rumit untuk di tangani kerana telah berakar-umbi untuk tempoh masa yang lama.

Secara realistiknya, adakah jalan penyelesaian-nya?

Data sediada jelas menunjukkan kebergantungan negara kepada pekerja asing terus meninggi, dan telah mencapai jumlah terbesar dalam sejarah negara, meningkat dari 1.683 juta (2010) kepada 2.47 juta (September 2024).

Ini adalah peningkatan besar 47% dalam tempoh masa 14 tahun (2010 – 2024).

Kebergantungan ini boleh terus meninggi sekiranya rakyat Malaysia kekal tidak berminat untuk melaksanakan kerja-kerja 3D (Dirty Dangerous Difficult) yang rata-rata di buat oleh pekerja asing. Dan syarikat-syarikat tidak mengguna-pakai teknologi terkini untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Oleh itu, jumlah pekerja asing berkemungkinan besar terus meningkat dan bukannya menurun.

Pengambilan pekerja asing, samada secara sah mahupun haram, adalah satu jenis perniagaan yang menguntungkan, dengan melibatkan nilai yang sangat besar berbillion Ringgit dan jumlah yang ramai jutaan orang.

Sudah pasti pihak yang berkepentingan akan ‘melindungi’ perniagaan ini untuk terus mengaut keuntungan besar, dan sanggup terjerumus di dalam aktiviti yang melanggar undang-undang negara dan antarabangsa.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular