HomeUtamaMalaysia tegas dalam pendirian kekal hubungan baik, bebas dengan negara Barat dan...

Malaysia tegas dalam pendirian kekal hubungan baik, bebas dengan negara Barat dan Timur – PM Anwar

Read Time:2 Minute, 31 Second

KUALA LUMPUR: Malaysia tegas dalam pendirian untuk mengekalkan hubungan baik dan bebas dengan negara Barat mahupun Timur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketegasan itu diungkapkan Perdana Menteri ketika Menyampaikan ucap tama merasmikan Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Russia dan Dunia Islam – Era Kemunculan Multipolariti, dan Perdana Menteri turut menegaskan, Malaysia juga kekal konsisten dalam isu kemanusiaan dan keadilan. 

Perdana Menteri yang turut mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh Rusia dalam sejarah interaksi dengan dunia Islam dan beliau juga menyatakan rasa terima kasih kepada Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov, atas usahanya memacu hubungan antara Rusia dan negara-negara Islam sejak 2003, apabila Presiden Vladimir Putin pertama kali mencadangkan kerjasama ini di Persidangan OIC di Malaysia.

Mengenai kerjasama di antara Russia dan dunia Islam, beliau berkata, ia bukan hanya bersifat politik, tetapi juga berpaksikan ekonomi dan budaya seperti yang ditunjukkan melalui inisiatif BRICS.

“ Kerjasama ini penting untuk membentuk pemahaman dan persekutuan baharu dalam menghadapi cabaran global. Malaysia mengambil langkah menyertai inisiatif BRICS untuk menegaskan hak kami secara bebas dalam persekitaran multipolar,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan Islamofobia, khususnya di Eropah dan Amerika Utara, di mana jenayah kebencian terhadap umat Islam semakin meningkat. Beliau menyeru pengenalan undang-undang anti-diskriminasi dan langkah proaktif untuk menggalakkan toleransi.

Beliau juga menekankan tanggungjawab Malaysia dalam memupuk toleransi agama dengan memberi contoh tindakan negara membangunkan semula kuil Hindu yang dimusnahkan lebih dua dekad lalu.

“Kami menunjukkan sikap toleransi yang tinggi terhadap semua agama sambil memastikan umat Islam mematuhi ajaran mereka,” katanya.

Perdana Menteri yang turut menyentuh Krisis di Palestin dan Syria berkata  situasi di Palestin sebagai “tragedi abad ini” dan mengecam penjajahan serta kezaliman yang berlaku.

Dan Beliau turut menyeru penyelesaian aman untuk konflik di Syria dengan menolak perpecahan sektarian dan mengutamakan perpaduan negara.

Sementara itu Anwar turut memuji kemajuan yang berjaya dilaksanakan Rusia terutamanya di dalam  sektor pertanian dan menekankan potensi besar kerjasama ekonomi serta teknologi antara Rusia dan negara-negara Islam.

“Kita harus memperkukuhkan rantaian bekalan makanan dan memerangi kelaparan serta kemiskinan,” tambah beliau.

Malaysia juga telah memulakan kerjasama dengan Rusia melalui Pusat Teknologi Tinggi Rusia-Malaysia (RMHTC) dalam bidang pendidikan, teknologi, dan penyelidikan, selaras dengan aspirasi negara Islam lain.

Mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru para pemimpin untuk menjadikan perbincangan ini sebagai pemangkin kepada tindakan konkrit demi kemaslahatan ummah dan masyarakat global.

“Perjalanan ke arah dunia multipolar yang lebih adil memerlukan keyakinan dan perpaduan. Mari kita memperdalam kerjasama ini, mengubah perbincangan kepada tindakan bermakna, dan menegaskan komitmen kita kepada ad-din, keamanan, dan ihsan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Visi Strategik Dunia Islam-Rusia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atas usaha mereka dalam menjayakan sidang ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Luar Russia, Andrey Rudenko; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Pengarah Majlis Mesir bagi Hal Ehwal Antarabangsa (ECIA), Ezzat Saad.

Selain itu, Ketua Pengarah Hal Ehwal Politik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohamed Salah Tekaya; Hakim Agung Palestin, Mahmoud Sudqi Al-Habbash dan Setiausaha Agung Kesatuan Agensi Berita OIC (UNA), Muhammad Al-Yami.

RELATED ARTICLES
Utama

Sektor pelancongan Sabah berkembang 3.0 peratus pada 2023 – DOSM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular