HomeUtamaLibatkan universiti sebagai rakan penyelidik

Libatkan universiti sebagai rakan penyelidik

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu para penyelidik dalam dan luar negara menjalin kerjasama dengan pihak universiti di negara ini sebagai rakan penyelidik.

Ketua Setiausaha KPT Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, ini kerana sebahagian daripada penyelidikan yang dijalankan pihak luar dilihat tidak berminat untuk mendokumentasi hasil kajian yang dijalankan. 

“Sebahagian daripada penyelidikan yang dijalankan di Malaysia ini termasuk di Sabah dan Sarawak dijalankan oleh pihak luar dengan kerjasama pihak yang tidak berminat untuk mendokumentasikan kajian tersebut sebagai rakan kerja penyelidikan.

“Justeru kita meminta agar para penyelidik untuk bekerjasama dengan universiti-universiti (di Malaysia), kerana memang kita diminta untuk mendokumentasikan dalam bentuk penerbitan buku, jurnal  antarabangsa dan sebagainya.

“Kadang-kadang ada agensi itu tidak boleh menerbitkan, nama pun tidak boleh disebut dalam kajian tersebut disebabkan oleh prosedur-prosedur yang berlaku dalam agensi tersebut sehingga karya itu dihasilkan nama orang Malaysia pun tidak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku dan Pembinaan Replika Monumen Kedaulatan Pulau Layang-Layang di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Zaini berkata, dengan kerjasama yang dilaksanakan bersama universiti ianya akan dapat memudahkan penyelidikan yang dilaksanakan.

“Saya fikir dimana pun di Malaysia ini kita harus melibatkan sebaik-baiknya universiti dimana tugas mereka bukan sahaja untuk mengajar, bahan yang telah diperoleh itu, yang telah dikaji, tetapi juga pada masa yang sama mereka akan berterusan untuk mengembangkan lagi aspek dalam pelbagai bidang dan dimensi dari segi kajian tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Zaini berkata, pihak pengurusan universiti sentiasa terbuka untuk menjalankan kerjasama membuat kajian atau penyelidikan di negara ini termasuk di Sabah.

“Mereka boleh bertemu dengan Naib Canselor atau penyelidik, pastikan yang mereka juga terlibat dan ini secara tidak langsung akan membantu kita untuk lebih memahami perkara tersebut.

“Kalau dengan pelbagai pihak mungkin hanya bersifat projek, lepas daripada itu tidak adalah sambungan.  Tapi kalau di universiti ini kita ada pelajar yang akan belajar.

“Kita ada penyelidik yang akan membuat penyelidikan, kita ada profesor yang akan berada disitu untuk apa yang kita sebut sebagai ‘depository of knowledge corpus’,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

511 kilogram sampah berjaya dikutip di pantai Tanjung Lipat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular