KOTA KINABALU : Arkib bukan sekadar tempat menyimpan dokumen lama, sebaliknya berperanan sebagai instrumen penting dalam memastikan tadbir urus berintegriti, memelihara memori institusi serta melindungi keadilan pentadbiran universiti.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, peranan arkib pada masa ini semakin signifikan khususnya dalam menyokong pengurusan universiti yang telus, berakauntabiliti dan berpaksikan bukti sahih.
“Rekod primer seperti minit mesyuarat, warta dan dokumen perundangan yang disimpan di Arkib Universiti berfungsi sebagai single source of truth dalam melindungi hak statutori universiti serta warga institusi.
“Arkib bukan sekadar stor menyimpan dokumen lama, tetapi merupakan instrumen tadbir urus, nadi kepimpinan dan benteng keadilan pentadbiran kita.
“Keadilan pentadbiran memerlukan bukti yang sahih, dan rekod-rekod ini menjadi asas penting dalam memastikan integriti pengurusan institusi sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat UMS 2026 dan pelancaran e-Book Jabatan Perpustakaan bertajuk Paksi Ilmu: Menelusuri Legasi Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah di Perpustakaan UMS, di sini.
Tambah Kasim, tema sambutan Hari Arkib Antarabangsa tahun ini iaitu #ArchivesForJustice: Rights, Memory and Futures memfokuskan kepentingan arkib dalam memelihara hak, memori institusi dan perancangan masa depan organisasi.
“Sebagai ‘The Brain of Borneo’, UMS turut bertanggungjawab memelihara khazanah intelektual rantau ini menerusi pendokumentasian sejarah institusi dan sejarah lisan bagi memastikan ilmu serta pengalaman generasi terdahulu tidak hilang ditelan zaman.
“Agenda Arkib Pintar (Smart Archive) juga penting dalam memastikan universiti memiliki autonomi data korporat yang bersedia mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Tiyunin berkata, arkib universiti memainkan peranan penting sebagai memori institusi yang menyimpan serta memelihara bukti perjalanan, pencapaian dan identiti UMS sejak penubuhannya.
“Rekod yang dipelihara bukan sahaja melibatkan aspek pentadbiran, malah turut merangkumi perkembangan akademik, penyelidikan, pembangunan kampus serta pelbagai pencapaian universiti sepanjang lebih tiga dekad.
“Tanpa pengurusan rekod yang sistematik dan berintegriti, sesebuah institusi akan kehilangan sebahagian daripada identiti dan memorinya sendiri.
“Arkib bukan sekadar menyimpan masa lalu, tetapi membantu kita memahami masa kini dan merancang masa depan,” katanya.
Tambah Zawawi, Arkib Universiti turut memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan sejarah lisan atau oral history bagi merakam pengalaman serta kisah perjuangan tokoh-tokoh perintis UMS yang tidak tercatat dalam dokumen rasmi.
“Pembangunan ekosistem GLAM+S yang menggabungkan Gallery, Library, Archive, Museum dan U-Science di UMS turut memperlihatkan peranan signifikan arkib dalam menghubungkan sejarah, ilmu, budaya, penyelidikan dan inovasi universiti,” ujar beliau.
Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat UMS berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 Jun dengan pelbagai pengisian program berkaitan pemeliharaan rekod, pengurusan arkib dan tadbir urus institusi.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi.



