HomeUtamaTelur penyu bernilai RM3,000 dirampas di Tuaran

Telur penyu bernilai RM3,000 dirampas di Tuaran

Read Time:1 Minute, 8 Second

TUARAN: Sebanyak 300 biji telur yang disyaki telur Penyu Hijau dirampas dalam satu operasi khas yang dijalankan di Kampung Serusup, di sini, pada Rabu.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, Jabatan Hidupan Liar Sabah memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama Unit Perisikan Siasatan Khas (WCB) dan jabatan itu susulan risikan serta siasatan khas yang dijalankan bersama.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan hasil hidupan liar yang dilindungi.

Menurut kenyataan itu, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 300 biji telur yang disyaki telur Penyu Hijau dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,000.

Kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hasil haiwan yang dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran yang sah.

Jabatan Hidupan Liar Sabah berkata, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti melibatkan pemilikan, queen perdagangan atau penyeludupan hidupan liar dan akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi memastikan spesies yang dilindungi terus terpelihara.

Katanya, meskipun pelbagai kempen kesedaran dan perubahan sikap telah dilaksanakan, permintaan terhadap telur penyu masih wujud sehingga mendorong aktiviti penyeludupan dan penjualan secara haram.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli, memiliki atau memakan telur penyu kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan atau penyeludupan telur penyu diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah hidupan liar serta melindungi populasi penyu di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

SCWI 2026 jadi kompas pembangunan kanak-kanak Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular