Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah 2026 (SCWI 2026) memberikan gambaran jelas bahawa cabaran yang dihadapi kanak-kanak di negeri ini tidak boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya saling berkait dan memerlukan pendekatan pembangunan yang menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Ts. Dr Ramzah Dambul berkata, isu pendidikan, kesihatan, pemakanan dan kemiskinan sering berlaku serentak serta saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Menurutnya, jika kerajaan berhasrat memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi, dasar dan intervensi yang dilaksanakan perlu bergerak secara bersepadu dan tidak lagi dalam bentuk silo.
“SCWI 2026 membawa satu mesej penting bahawa kesejahteraan kanak-kanak perlu dilihat secara holistik kerana setiap cabaran yang mereka hadapi mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Sabah Media.
Beliau berkata, antara dapatan yang paling membimbangkan dalam laporan itu ialah aspek keselamatan dan persekitaran hidup apabila hanya 6.1 peratus kanak-kanak memenuhi ambang kesejahteraan dalam domain berkenaan.
Katanya, keadaan itu menunjukkan pelaburan dalam kemudahan asas seperti bekalan air bersih, sanitasi, perumahan yang selesa, bekalan elektrik dan keselamatan komuniti perlu diberikan perhatian lebih serius.
“Pelaburan dalam aspek-aspek ini bukan sekadar pembangunan infrastruktur, tetapi merupakan pelaburan langsung terhadap kesejahteraan dan masa depan kanak-kanak,” katanya.
Dalam sektor pendidikan, Ramzah berkata Sabah tidak berdepan masalah besar dari segi akses kerana lebih 90 peratus kanak-kanak berada dalam sistem persekolahan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan cabaran utama kini tertumpu kepada kualiti pembelajaran, termasuk penguasaan literasi dan numerasi, pendidikan awal kanak-kanak serta usaha merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
Pada masa sama, beliau berkata isu pemakanan turut memerlukan perhatian apabila hanya kira-kira satu pertiga kanak-kanak mencapai tahap pertumbuhan dan perkembangan yang sepatutnya.
Menurutnya, keadaan itu memerlukan pengukuhan program makanan sekolah, intervensi nutrisi untuk ibu dan anak serta langkah meningkatkan sekuriti makanan di peringkat komuniti.
Ramzah turut mengingatkan bahawa golongan kanak-kanak tanpa dokumen, kanak-kanak kurang upaya dan mereka yang tinggal di kawasan terpencil merupakan kumpulan yang paling berisiko tercicir daripada arus pembangunan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa dasar serta pengagihan peruntukan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kumpulan yang berdepan pelbagai bentuk kekurangan secara serentak, berbanding menggunakan pendekatan yang sama untuk semua.
Beliau menegaskan SCWI 2026 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai laporan statistik, sebaliknya berpotensi menjadi panduan penting dalam merancang pembangunan negeri.
“Indeks ini boleh dijadikan asas dalam proses perancangan, pengagihan sumber dan pemantauan prestasi pelbagai kementerian serta agensi dari semasa ke semasa.
“Jika kita benar-benar mahu membina sebuah Sabah yang maju dan inklusif, pelaburan paling strategik bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal, tetapi kepada kanak-kanak yang akan mewarisi negeri ini pada masa hadapan,” ujar beliau.



