Lahad Datu : Komitmen Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam memastikan keselamatan pelancong yang mengunjungi kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) agar sentiasa terpelihara dan terjamin terus menerima penghargaan negara luar.
Penghargaan itu dizahirkan Duta Besar Republik Korea, Tuan Yang Terutama Yeo Seung Bae yang mengadakan kunjungan hormat ke ESSCOM di Pejabat ESSCOM di sini petang tadi.
“Saya menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih atas usaha ESSCOM dalam memastikan keselamatan pelancong khususnya rakyat Republik Korea yang mengunjungi ESS Zone sentiasa terpelihara dan terjamin,” katanya.
Hadir sama pada kunjungan itu Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos; Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali dan Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin.

Seung Bae berkata, beliau turut berasa selesa dengan kunjungan yang disifatkan sebagai amat penting khususnya dalam mengetahui tahap keselamatan di ESS Zone.
Menurutnya, ia adalah bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada warganya supaya lebih ramai pelancong dari Republik Korea datang berkunjung ke Malaysia khususnya ke Sabah.
Sementara itu, Victor ketika berucap merakamkan ucapan terima kasih kepada Seung Bae dan delegasi yang sudi mengadakan kunjungan ke ESSCOM bagi mengetahui sendiri situasi terkini di ESS Zone.
“Saya berharap melalui kunjungan ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua belah pihak dan paling utama selaras dengan hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui ESSCOM, kita berharap agar Kerajaan Republik Korea dapat memberi keutamaan menarik balik nasihat perjalanan dan menggalakkan rakyatnya untuk datang berkunjung ke pantai Timur Sabah.
“Mudah-mudahan selepas kunjungan ini, statistik kemasukan pelancong dari Republik Korea akan menunjukkan peningkatan yang signifikan,” katanya.
Terdahulu, Seung Bae dan delegasi diberikan taklimat mengenai tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang semakin mengukuh di pantai Timur Sabah sejak ESS Zone dan ESSCOM ditubuhkan lebih 11 tahun lalu. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM