HomeUtamaPatuhi peraturan, pandu dengan baik ketika musim perayaan - Shahelmey

Patuhi peraturan, pandu dengan baik ketika musim perayaan – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 44 Second

Sipitang : Pengguna jalan raya disaran memandu dalam keadaan baik, mematuhi peraturan dan sentiasa prihatin papan tanda jalan khususnya bagi perjalanan berjarak jauh.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, aliran trafik yang tinggi ketika musim perayaan memungkinkan berlakunya kemalangan sekiranya pengguna mengabaikan peraturan jalan raya sedia ada.

“Semasa musim perayaan macam sekarang (Krismas dan cuti sekolah), sudah tentu jumlah aliran trafik itu meningkat tinggi sebab itulah kita meminta kerjasama pemandu atau pengguna jalan raya untuk memastikan memandu dalam keadaan selamat, berhemah, cermat serta bertolak ansur.

“Kepada pengguna jalan raya atau pemandu, pastikan diri dalam keadaan segar, kalau penat berhenti dan berehat dahulu untuk memastikan keadaan diri mereka secara fizikal dalam keadaan sihat terutamanya yang memandu bagi jarak jauh untuk balik ke kampung menyambut perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Hari Natal Tahun 2024, di sini baru-baru ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya turut mengingatkan agar kenderaan yang dibawa berada dalam keadaan yang baik.

“Selain daripada itu patuhi segala arahan, amaran dan juga segala papan tanda yang diletakkan di sepanjang jalan raya kerana banyak jalan raya kita di Sabah sedang dalam pembinaan seperti jalan raya Pan Borneo.

“Jadi, banyak papan tanda amaran diletakkan sepanjang jalan yang masih dalam pembinaan, saya minta kepada pengguna jalan raya agar sentiasa peka amaran tersebut,” katanya

Shahelmey turut mengingatkan para pemandu kekal fokus dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa pemanduan.

“Selain itu, saya ingatkan dalam kecanggihan teknologi ini, ramai pemandu menggunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi, keadaan ini boleh menyebabkan pemanduan hilang fokus jadi saya harap ini dapat dielakkan. 

“Sekiranya perlu membuat panggilan atau menjawab pesanan-pesanan ringkas, berhentilah di tempat yang selamat untuk melakukan perkara tersebut,” katanya.

Dalam program tersebut, beliau juga mengagihkan bakul tangan berisi Kit Segitiga keselamatan jalan raya, peti pertolongan cemas, botol air dan payung kepada 100 pemandu kereta selain 50 topi keledar kepada penunggang motosikal dalam misi memastikan pengguna jalan raya sentiasa sedar tentang kepentingan keselamatan jalan raya.

RELATED ARTICLES
Utama

SPM 2024 : Sekolah diminta siap sedia hadapi MTL

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular