Kota Kinabalu : Pihak sekolah terutama yang terlibat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini diminta untuk bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, ia adalah bagi memastikan calon SPM terlibat dapat menduduki peperiksaan dengan lebih teratur.
“Kita sedia maklum bahawa taburan hujan begitu tinggi, salah satunya persiapan kita ialah kita sentiasa memantau daripada laporan cuaca supaya kita ketahui bila dan taburan hujan tinggi. Jadi sekurang-kurangnya kita dapat bersedia.
“Begitu juga persiapan sekolah di mana perlu bersiap sedia kerana kita pun sekarang ini akan menghadapi peperiksaan SPM, kita mahukan supaya persiapan pihak sekolah jika berlakunya banjir apa perlu ditangani.
“Begitu juga kepada ibubapa supaya peka kepada laporan cuaca, jika ada berlaku banjir, mereka perlu terus merujuk kepada pihak sekolah supaya kita dapat bersiap sedia supaya tidak mengalami satu situasi yang sulit nanti,” katanya.
Sebelum ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah bersiap sedia melaksanakan peperiksaan SPM dalam situasi banjir dengan berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) Ops Payung.
Katanya, KPM bekerjasama erat dengan agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar. – SABAH MEDIA