Kota Kinabalu : Kementerian Komunikasi menyasarkan 137 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) beroperasi di Sabah pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata Kementerian Komunikasi merancang menambah 14 lagi NADI di Sabah menerusi inisiatif satu NADI bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sehingga Disember 2024 sebanyak tujuh lagi NADI baharu telah beroperasi iaitu tiga di Kota Kinabalu, dua di Sepanggar dan satu NADI masing-masing di Kota Belud serta Batu Sapi.
“Pada Januari depan dijangka lima NADI baharu akan siap manakala NADI Kampung Gelam-Gelam dan Pulau Banggi pula pada bulan Mac akan datang,” katanya selepas melawat NADI Luyang, di sini.
Ketika ditemui, Teo menzahirkan harapan agar lebih 52,000 masyarakat sekitar NADI Luyang dapat menggunakan fasiliti yang disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bagi melakukan aktiviti atau kelas yang bersesuaian.
“NADI turut mengadakan Program Safe and Shield kepada pelajar-pelajar sekolah tentang keselamatan dunia siber bagi mengelakkan mereka menjadi seorang pembuli siber ataupun menjadi mangsa buli,” ujarnya.
NADI yang dilaksanakan oleh SKMM menjadi platform kepada komuniti setempat mendapatkan capaian internet secara kolektif di samping meningkatkan potensi dan kesejahteraan komuniti selain menyebarluaskan informasi berkenaan inisiatif kerajaan.
Teo juga memaklumkan pihak kementerian turut bekerjasama dengan Lazada dan Shoppe agar mereka dapat menghantar wakil bagi membantu melatih mana-mana individu yang ingin menjadi e-vendor.