HomeIsu tempatanTeknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

Read Time:1 Minute, 43 Second

Kota Kinabalu:  Teknologi membran merupakan satu penemuan saintifik yang mampu menjadi penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh manusia dalam pelbagai sektor.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly berkata, teknologi membran telah berkembang pesat sejak 1990-an akibat keperluan mendesak terhadap penjimatan tenaga dan krisis air global.

“Teknologi membran ini tidak begitu menyerlah sehinggalah di awal 1990, iaitu apabila kita mengalami banyak krisis air dan juga kita ingin melaksanakan penjimatan dari segi penggunaan tenaga.

“Teknologi seperti osmosis hadapan membolehkan pemprosesan makanan tanpa merosakkan nutrien, manakala penyulingan membran menawarkan kaedah menghasilkan air bersih menggunakan tenaga rendah.

“Di Sabah, teknologi ini sangat relevan untuk komuniti terpencil, terutama di pulau-pulau yang menghadapi masalah bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk “Sustainability in Membrane Technology” di UMS.

Tambah Rosalam, membran juga digunakan dalam bidang perubatan, seperti teknologi dialisis, pemulihan luka, dan penghasilan membran scaffolding untuk pembinaan semula organ manusia.

“Kami sedang meneroka penggunaan membran untuk menghasilkan organ gantian seperti hati dan tulang, yang menggunakan bahan biokompatibel yang dapat mengurangkan risiko penolakan oleh tubuh,” katanya.

Beliau turut berharap agar kerjasama strategik antara universiti, industri, dan kerajaan dapat ditingkatkan bagi mempercepatkan penerapan teknologi tersebut di Malaysia.

“Saya berharap pada masa hadapan, banyak lagi teknologi moden yang menggunakan teknologi membran untuk kemajuan terutama dalam rawatan air,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam ucapan aluannya memaklumkan Majlis Syarahan Perdana seumpama itu adalah satu tradisi akademik yang sangat signifikan bagi seseorang profesor dan dianjurkan sebagai platform untuk menyebar luas ilmu pengetahuan, kepakaran, penemuan inovatif, juga sebagai bukti ketokohan dan kesarjanaan akademiknya.

Penganjuran majlis itu juga katanya adalah sebagai penghargaan serta pengiktirafan kepada profesor sebagai pemikir yang telah banyak memberi sumbangan dan idea khususnya kepada dunia akademik, malah kepada negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Baba Musta; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Prof. Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

28 ahli Puspanita MARISA, anggota Maritim Malaysia Sabah dan Labuan tawan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular