HomeIsu tempatanKKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Persatuan Filem dan Video Kota Kinabalu (KKFVA) dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mencapai persetujuan untuk menjalinkan kerjasama strategik menjadikan Sabah sebagai pusat pelancongan filem.

Presiden KKFVA Chester Pang berkata, satu memorandum kerjasama dijangka dimeterai pada awal tahun depan bagi mempercepatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif ke arah mencapai matlamat terbabit.

Menurutnya, persetujuan itu dicapai selepas kunjungan hormat KKFVA kepada Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit, di pejabatnya di Kota Kinabalu di sini baru-baru ini.

“Pertemuan ini bertujuan membentangkan kertas kerja cadangan kerjasama bagi membuka peluang baharu kepada pembikin filem tempatan, di samping mempromosikan keindahan alam semula jadi dan kekayaan budaya Sabah di persada dunia melalui filem serta pasaran filem antarabangsa.

“Keindahan alam semula jadi Sabah dan warisan budayanya yang kaya dan pelbagai membuka peluang signifikan kepada pelancongan berasaskan filem.

“Dengan mengetengahkan tarikan unik Sabah menerusi filem, dokumentari, dan siri televisyen, negeri ini dapat meningkatkan jenama pelancongan globalnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Chester berkata, perbincangan mereka turut menumpu ke arah meneroka potensi industri filem dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi dan produk pelancongan, memudahkan kolaborasi antara STB, penggiat industri tempatan dan rumah produksi antarabangsa, dan mewujudkan garis panduan dan insentif untuk produksi memilih Sabah sebagai lokasi penggambaran.

Penerbit filem Craze Below The Wind itu juga berkata, produksi tempatan turut menjadi penyumbang kepada pelancongan dan ekonomi Sabah.

“Perbelanjaan produksi menunjukkan peningkatan ketara dari 2022 hingga 2024. Perbelanjaan penghasilan filem tempatan oleh produksi Sabah sahaja mencecah RM2.72 juta pada 2022, RM3.09 juta pada 2023, dan RM6.97 juta pada 2024.

“Pada 2022 dan 2023, hanya empat dan lima filem tempatan masing-masing ditayangkan di pawagam. Namun, tahun ini, sebanyak 22 filem sedang dalam pembikinan.

“Tiga filem tempatan sudah pun ditayangkan di pawagam, tujuh lagi dalam fasa pra-produksi, lima dalam fasa pasca-produksi, dan 10 filem lagi bakal ditayangkan di pawagam.

“Perbelanjaan produksi ini belum termasuk dokumentari, drama, telemovie, dan bentuk produksi media yang lain,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular