Penampang : Lebih 100 komuniti dalam Kampung Duvanson di sini telah menyertai Pertandingan Menghias Kawasan Gereja St. Simon.
Pertandingan itu melibatkan enam buah kawasan iaitu Hizavan, Kotiduvan, Tansau, Pakutah, Gumbahon dan Dagang Tanah.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, Mohd Isquzawan Datuk Arsit.

Isquzawan ketika ditemui berkata, program seperti itu akan dapat memperkukuh dan mengeratkan lagi silaturahim masyarakat di kawasan itu.
Justeru beliau mengajak penduduk di kawasan itu bersama-sama bersatu dalam meraikan kepelbagaian, kepercayaan dan komited dengan sikap toleransi.
“InsyaAllah pada tahun-tahun hadapan kita akan terus membantu menjayakan program-program seperti ini dan mudah-mudahan program-program ini dapat diperbesarkan lagi.
“Ia juga bagi memastikan semua masyarakat di sini dapat menerima manfaatnya. Penglibatan ini merangkumi dari pelbagai umur masyarakat, ada belianya, ada remajanya, ada veterannya dan sebagainya. Itu yang paling penting sebab kita dapat mengeratkan lagi suasana di kawasan kampung,” katanya.
Kawasan Kotiduvan berjaya mendapat tempat pertama, tempat kedua Hizavan manakala tempat ketiga di menangi Pakutah.
Pemenang masing-masing memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, RM700 dan RM500. Pertandingan Menghias Kawasan Gereja dianjurkan Gereja St Simon Duvanson dengan kerjasama Gagasan Rakyat Petagas dan UPPM Putatan. – SABAH MEDIA