PAPAR: Suasana di Pantai Bundusan, Kampung Bundusan dekat sini bertukar pilu apabila empat individu dilaporkan lemas ketika menjalankan aktiviti riadah mandi-manda petang tadi (26 Dis).
Dua mangsa lelaki termasuk seorang remaja dan seorang kanak-kanak ditemui dan disahkan meninggal dunia, seorang mangsa selamat, manakala seorang mangsa lagi masih hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata maklumat mengenai kejadian itu diterima pada jam 5.38 petang tadi melalui panggilan kecemasan MERS999.
“Menurut laporan awal, seorang mangsa lelaki berusia 14 tahun ditemui oleh penduduk kampung sebelum pasukan bomba tiba.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas usaha CPR dilakukan bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 12 tahun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, pada jam 6.56 petang mangsa ketiga berjaya dijumpai oleh pasukan bomba.
“Mangsa kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu dijumpai terdampar di tepi pantai dan disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan KKM.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan oleh pihak bomba dengan bantuan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM untuk mencari seorang lagi mangsa lelaki berusia 48 tahun yang masih hilang,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di kawasan pantai terutama dalam cuaca tidak menentu.
Maklumat lanjut mengenai operasi ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.