KOTA KINABALU: MASwings menyemarakkan sambutan Krismas dengan meraikan para penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Miri baru-baru ini.



Penumpang yang menaiki penerbangan terpilih, menerima hadiah perayaan serta menikmati biskut percuma yang dihidangkan dalam pesawat, mencerminkan semangat memberi dan berkongsi sempena musim perayaan ini.
Ketua Pegawai Operasi MASwings, Suresh Singam, berkata program bertemakan “Kegembiraan Hari Krismas” ini bertujuan mencipta pengalaman istimewa buat pelanggan mereka.
“MASwings komited untuk membawa semangat Hospitaliti Malaysia pada setiap musim perayaan.
“Kami mahu penumpang merasai keceriaan dan meninggalkan kenangan manis sepanjang perjalanan mereka bersama kami,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Inisiatif ini turut bertujuan memupuk perpaduan, mengukuhkan kesetiaan pelanggan, serta meningkatkan jenama MASwings sebagai pilihan utama perjalanan di Sabah, Sarawak dan Brunei.
Pihak pengurusan MASwings turut mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baharu kepada semua penumpang, dengan harapan setiap perjalanan dipenuhi kegembiraan serta kenangan yang bermakna.