HomeUtamaPelaburan berimpak tinggi di SOGIP dijangka beroperasi pada 2026-2027

Pelaburan berimpak tinggi di SOGIP dijangka beroperasi pada 2026-2027

Read Time:2 Minute, 39 Second

Sipitang: Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) yang memperolehi pelaburan berimpak tinggi dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2026 dan 2027.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara pelaburan tersebut ialah Syarikat Esteel untuk kilang keluli (Green Steel) dengan nilai pelaburan berfasa  sebanyak  RM20  bilion  dan  Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang membangun kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Terapung dengan nilai pelaburan RM8.8 bilion.

Katanya, pelaburan lain ialah dari Syarikat E-Concern Sdn. Bhd. dalam pengurusan sisa bernilai RM1 bilion dan Tex Evolosi Waste Management Sdn. Bhd. bernilai RM70 juta.

“Semua syarikat yang saya sebut itu akan mula beroperasi pada tahun 2026 dan 2027. Semua pelaburan ini akan mencipta peluang pekerjaan seawal di fasa pembinaan dan semasa beroperasi. 

“Sudah tentu penduduk Sipitang dan sekitarnya  akan mendapat limpahan dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Saya penuh yakin dengan gabungan pemimpin politik, jentera kerajaan serta rakyat di Sipitang, kita akan melakarkan lebih banyak pembangunan dan kejayaan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kesenian, Kebudayaan, Pelancongan dan Makanan Tradisi Sempena Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah 2024 di Padang Top Ten di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, pelabur asing dan domestik kekal yakin dan percaya dengan pentadbiran negeri yang mempunyai hala tuju yang jelas selain menterjemah keyakinan mereka melalui pelaburan bernilai RM1.7 billion pada tahun ini.

Beliau mahu industri pelancongan di Sipitang diperkasakan lagi untuk menjana manfaat ekonomi dan pekerjaan, memandangkan kedudukan daerah itu yang amat strategik dan berhampiran dengan beberapa negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan selain Sarawak dan Labuan.

Malah katanya, Sipitang yang cukup terkenal dengan sataynya merupakan laluan masuk utama pelancong dari Brunei dan Sarawak menggunakan jalan darat.

Beliau berkata, Kerajaan negeri sentiasa menyokong perayaan tradisi seperti Adat Makan Tahun Etnik Kadayan dan mahu ianya terus diadakan secara konsisten setiap tahun sebagai platform memupuk perpaduan khususnya di kalangan etnik Kadayan dan pelbagai etnik lain di negeri ini.

Katanya, pemeliharaan budaya amat penting bukan sahaja untuk mempertahankan identiti bangsa, juga sebagai asas kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat.

“Di Negeri Sabah, kita berbangga dengan kepelbagaian budaya yang ada daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik, menjadikan negeri ini unik dan kaya dengan pelbagai tradisi serta adat resam. Bagi terus memartabatkan khazanah budaya dan warisan etnik negeri ini, sebanyak RM13.66 juta diperuntukkan pada tahun hadapan.

“Ini untuk memastikan warisan budaya dan keseniaan negeri ini terus kekal dan terpelihara. Selain untuk merancakkan lagi sektor pelancongan, juga bagi memastikan khazanah ini dapat dinikmati generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan pada setiap perancangan yang dibuat, terutamanya dalam meningkatkan taraf kehidupan ekonomi dan sosial mereka.

Katanya, pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada semua peringkat lapisan rakyat sama ada golongan miskin dan miskin tegar, termasuklah pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan inisiatif Rumah Mesra SMJ dengan peruntukan sebanyak 20 buah untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan inisiatif ini akan ditambah menjadi 40 buah rumah pada tahun hadapan dengan aggaran perbelanjaan sejumlah RM250 juta. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah jana pendapatan kepada peniaga, usahawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular