Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada persatuan penulis Sabah yang aktif dan berdaftar bermula tahun depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif berkata, peruntukan itu diharap dapat merancakkan lagi program-program penulisan kesusasteraan dan penerbitan buku-buku sastera di Sabah.
“Melalui kementerian saya yang salah satu menjaga bahasa dan sastera, bermula tahun hadapan akan memberikan peruntukan RM10,000 kepada semua persatuan penulis yang aktif yang berdaftar di negeri ini.
“Peruntukan berkenaan kita harap dibahagi dua, pertama untuk kegiatan program aktiviti dan kedua untuk penerbitan buku sama ada buku puisi, antologi cerpen atau karya-karya sastera yang lain, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malam Anugerah Karyawan Sastera Utara Sabah (KSUS), di sini.
Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, peruntukan itu adalah untuk memastikan lebih banyak karya diterbitkan oleh penulis Sabah sekaligus mengangkat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera ke-60 di peringkat global.
“Kita sedang memohon melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan dokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan badan bahasa untuk mendapatkan pengiktirafan Kota Sastera.
“Kita memohon kerana persyaratan yang ditetapkan sudah kita miliki antaranya perpustakaan, universiti, kegiatan sastera dan lain-lain, hanya tinggal kita selaras sahaja dan mudah-mudahan permohonan ini dapat dipersetujui untuk kita menjadi salah satu daripada Kota Sastera dunia.
“Dengan ini, kegiatan-kegiatan sastera dapat diselaraskan dan inilah yang akan kita kongsikan dengan lebih 50 buah lagi Kota Sastera di dunia.
“Sekurang- kurangnya dapat menyumbang kepada pelancongan sastera, ilmu dan budaya kerana kita berharap Sabah akan menjadi dataran sastera serta budaya di Malaysia,” katanya.
Pada majlis itu, Arifin turut menyampaikan anugerah serta sijil penghargaan kepada tokoh-tokoh KSUS yang aktif menghasilkan karya-karya sastera.
Turut hadir, Pengarah DPB cawangan Sabah, Jennitah Noordin, Sasterawan Negeri Sabah, Datuk Jasni Matlani dan Pengerusi KSUS, Awang Karim Kadir.