Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2024/2025 telah mengeluarkan kenyataan rasmi hari in berhubung pendirian mereka terhadap Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 31 Disember 2024 di hadapan Menara Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
MPP UMS menyatakan bahawa mereka tidak menyarankan mahasiswa untuk menyertai perhimpunan tersebut atas faktor keselamatan serta kebimbangan terhadap tuntutan tertentu yang dianggap berpotensi mencabar keluhuran undang-undang.
Menurut kenyataan itu, lokasi perhimpunan yang melibatkan kawasan strategik seperti jalan raya utama menimbulkan risiko terhadap keselamatan peserta. Tambahan pula, kehadiran dua kumpulan dengan objektif yang berlainan dikhuatiri akan mencetuskan provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman.
Bagaimanapun, MPP UMS menghormati hak kebebasan individu untuk menyuarakan pendapat seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Bagi mahasiswa yang tetap memilih untuk menghadiri perhimpunan itu, tanggungjawab sepenuhnya adalah di bawah kendalian mereka sendiri dan mereka dinasihatkan untuk:
- Mematuhi arahan pihak berkuasa di lokasi perhimpunan.
- Bertindak dengan disiplin bagi mengelakkan provokasi.
- Mengutamakan keselamatan diri sepanjang perhimpunan berlangsung.
Sehubungan dengan itu, pihak MPP UMS turut menyatakan kebimbangan terhadap tuntutan tertentu, terutamanya bantahan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Menurut mereka, tuntutan ini boleh dianggap sebagai melanggar Seksyen 121B Kanun Keseksaan, yang menetapkan hukuman berat terhadap tindakan mencabar kedudukan Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
MPP UMS menegaskan bahawa pelantikan Yang di-Pertua Negeri adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong, yang dilaksanakan atas nasihat Ketua Menteri Sabah, selaras dengan Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah.
Katanya, sebarang bantahan harus dilakukan melalui saluran yang sah tanpa menjejaskan keluhuran undang-undang.
Dalam kenyataan itu, MPP UMS menegaskan sokongan penuh terhadap usaha membanteras rasuah.
Mereka menyeru semua pihak untuk mempercayai keupayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas untuk menjalankan siasatan secara profesional dan telus.
Selain itu, MPP UMS juga mengingatkan mahasiswa untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab dan berpegang kepada nilai integriti dalam setiap keputusan yang diambil.
Mereka percaya bahawa tindakan yang beretika dan berasaskan undang-undang akan memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.