HomeUtamaTun Juhar banyak menyumbang kepada Sabah sepanjang tempoh perkhidmatan

Tun Juhar banyak menyumbang kepada Sabah sepanjang tempoh perkhidmatan

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selepas 14 tahun, Tun Juhar adalah Yang di-Pertua Negeri paling lama berkhidmat dan telah memberi sumbangan yang begitu besar kepada Sabah.

“Tuan Yang Terutama Tun telah mencurah khidmat yang tiada tolok banding, yang menyaksikan pelbagai insiden dan perkembangan yang melibatkan kerencaman dan dinamika dunia politik, ekonomi, keselamatan, kesihatan, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

“Perkembangan ini berlaku semasa beliau memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-10 dan telah meletakkan beliau dalam kedudukan yang baik sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman dan berjiwa besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis santapan negeri bagi menghargai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.

Hadir sama pada majlis itu isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Ir Shahelmey Yahya serta beberapa ahli Kabinet Sabah.

Hajiji berkata antara peristiwa yang tercatat dalam sejarah Sabah termasuklah insiden pencerobohan oleh warga asing di Tanduo pada 2013 dan merebaknya pandemik COVID-19 yang bermula pada akhir 2019 sehingga ke awal tahun 2022.

“Kedua-dua insiden itu telah meletakkan rakyat Sabah ke dalam situasi yang mencabar. Banyak nyawa terkorban. Alhamdulillah, di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun, kita telah berjaya mengatasi cabaran ini.

“Rakyat Sabah tidak kira bangsa, budaya, agama dan kepercayaan sentiasa menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan mereka kepada Tuan Yang Terutama Tun dan isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Norlidah Tan Sri R M Jasni dalam semua program awam yang mereka jayakan,” katanya.

Hajiji berkata kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat Sabah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Juhar atas kepimpinan cemerlang sepanjang 14 tahun memerintah dan mendoakan  beliau  serta Toh Puan  Norlidah  sentiasa baik dalam  perjalanan  mereka seterusnya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Papar Bergema: Festival Kompang Tarik Generasi Muda Perkasa Tradisi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular