HomeUtamaMufti Sabah sokong pelaksanaan hukuman sebat

Mufti Sabah sokong pelaksanaan hukuman sebat

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hukuman enam sebatan terhadap pesalah jenayah syariah di negeri Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, hukuman ini selaras dengan prinsip takzir dalam undang-undang syariah.

Beliau menjelaskan bahawa takzir adalah hukuman yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama atau pemerintah bagi kesalahan yang bentuk hukumannya tidak dinyatakan secara khusus dalam syarak.

Oleh itu, pelaksanaan hukuman ini dianggap bertepatan dengan kehendak syariah dan bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat.

“Kalau orang Sabah bilang ditapuk-tapuk atau disembunyi orang tidak tahu, tidak akan jadi pengajaran. Itu antaranya mengapa hukuman itu perlu dikhalayak ramai (individu tertentu).

“Namun pelaksanaan hukuman ini dilakukan dengan syarat-syarat yang ketat, tidak boleh dirakam atau diviralkan, dan hanya dihadiri individu tertentu. Ini memastikan ia selaras dengan falsafah hukum syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Haul ke-30 Tahun Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun di Memorial Park Tun Datu Mustapha, Putatan hari ini.

Bagaimanapun, Bungsu turut mengingatkan agar isu ini tidak dipolitikkan atau dijadikan bahan perdebatan agama, kerana ia adalah hasil ijtihad pihak berkuasa agama negeri Terengganu.

Beliau menegaskan bahawa pandangan ijtihad yang diambil oleh Terengganu tidak boleh dibatalkan oleh pihak lain.

Bagi negeri Sabah, beliau memaklumkan pelaksanaan hukuman sebatan ini pernah dilaksanakan iaitu di Tawau.

“Saya difahamkan oleh Ketua Hakim Syariah Negeri Sabah, hukuman ini memang pernah dibuat misalnya, di Tawau cuma saya tidak ingat tarikhnya.

“Justeru, setiap negeri mempunyai pendekatan tersendiri. Jika ada negeri yang tidak bersetuju, ia di luar bidang kuasa mereka untuk membatalkan ijtihad negeri lain. Kita menyokong pelaksanaan ini kerana ia mengikut syariat Islam,” katanya.

Hukuman enam sebatan ke atas pesalah syariah lelaki di Terengganu baru-baru ini mendapat perhatian pelbagai pihak, namun Bungsu menyeru agar semua pihak memahami konteks hukum sebelum membuat penilaian.

RELATED ARTICLES
Utama

10 penduduk terjejas banjir dipindahkan di Bukau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular