Ranau : Seramai 39,548 calon berdaftar akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang bermula hari ini melibatkan 313 pusat peperiksaan di seluruh Sabah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, daripada jumlah itu seramai 35,232 orang merupakan calon sekolah dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, baki calon dari jumlah itu adalah terdiri daripada calon di bawah agensi Kerajaan; Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN); persendirian dan dan sekolah swasta.
“Semua calon ini akan menduduki peperiksaan bertulis SPM Tahun 2024 yang akan dilaksanakan bermula hari ini hingga 6 Februari 2025.
“Jabatan Pendidikan Negeri ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau di sini hari ini.
Raisin berkata, calon terlibat juga diingatkan untuk membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Selain itu katanya, calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2024.
“JPN Sabah juga siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2024 berlangsung.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau JPN Sabah dengan kadar segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat JPN Sabah,” katanya.
Beliau berkata, JPN Sabah komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Tambahnya, JPN Sabah juga sentiasa mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera. – SABAH MEDIA