Sepanggar : Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum membuat sebarang pengesahan berhubung pelantikan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata, setakat ini hanya laporan mengenai pemilihan jawatan itu yang telah dihantar kepada kepemimpinan Pusat.
“Pemilihan telah dibuat dan pihak kami telah mengantar laporan ke peringkat pusat. Itu saja, peringkat pusat bertanya apa yang berlaku masa mesyuarat tersebut. Kita terangkan secara terperinci apa yang berlaku.
“Setakat ini dari segi teknikalnya, memang kaedah itu sudah dibuat. Bagi kami itu kita akurlah dengan kaedah pemilihan. Tetapi pengesahan itu perlu dibuat Majlis Presiden Pusat dan setakat ini belum ada pengesahan. Kita baru mengadakan dan kita hantar laporan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Krismas Sekampung di Dewan Serayo Kg Malawa di sini pagi tadi
Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Peto Galim.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata,meskipun terdapat perbezaan pandangan namun ia perlu diselesaikan dalam mesyuarat PH yang diadakan tidak lama lagi.
“Jadi saya fikir selepas itu perkara ini boleh dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar semua pimpinan PH agar membuat perbincangam berkaitan bersama ‘keluarga PH’ dan tidak membincangkan isu berkenaan melalui media.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pertemuan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semalam, Mustapha berkata, pertemuan itu hanya membincangkan berkaitan isu semasa.
“Pertemuan semalam itu hanya perbincangam biasa. Tiada yang spesifik. Sebab kita dimaklumkan bahawa Ketua Menteri akan menunaikan umrah.
“Jadi banyak kita bincang untuk Kerajaan negeri dengan ADUN-ADUN kita untuk kita bincang-bincang tentang apa yang berlaku sekarang ini. Itu hanya pertemuan-pertemuan biasa yang kita buat juga sebelum-sebelum inilah,” katanya. – SABAH MEDIA