HomeUtamaTelegram dapat lesen penyedia media sosial - Fahmi Fadzil

Telegram dapat lesen penyedia media sosial – Fahmi Fadzil

Read Time:1 Minute, 31 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi memaklumkan permohonan Telegram untuk mendapatkan lesen sebagai penyedia perkhidmatan pesanan internet telah diluluskan pada Khamis lalu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kelulusan itu menjadikan ia penyedia ketiga yang diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), selepas TikTok dan WeChat.

“Meta masih ada beberapa dokumen yang mereka dalam proses nak menghantar, tetapi kita jangkakan dalam masa terdekat akan selesai.

“Saya minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) walaupun perbincangan itu berterusan, namun tidak boleh dibenarkan pelanggaran dalam negara kita.

“Tindakan masih boleh diambil. Saya harap dapat diurus dalam masa terdekat dan oleh kerana Google sahaja sebenarnya yang masih belum (menghantar permohonan), jadi kita memberikan sedikit masa lagi untuk diuruskan perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) dengan Kerajaan Melaka, di sini hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menambah empat daripada enam penyedia perkhidmatan iaitu Tencent (WeChat); ByteDance (TikTok); Meta (Facebook, WhatsApp dan Instagram); serta Telegram tidak berdepan masalah dalam permohonan berkenaan.

“Bagi X, mereka mengesahkan jumlah yang ada akan mengambil sedikit masa, dan saya serahkan kepada MCMC untuk berbincang dan menguruskan.

“Manakala untuk Google, saya telah minta supaya MCMC meneruskan libat urus dan masa yang sama sekiranya kita dapati ada apa-apa perkara yang melanggar undang-undang seperti video scam ‘deep fake’, yang dimainkan dalam platform YouTube, tindakan-tindakan boleh diambil terhadap ketidakpatuhan atau pelanggaran undang-undang negara,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan Kementerian Komunikasi menerusi MCMC sedang giat menjalankan Kajian Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang bertujuan membentuk rangka sistem pengalamatan yang berautoritatif, seragam dan bersepadu di peringkat kebangsaan.

Ujarnya, apabila siap sepenuhnya, NAS akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang autoritatif dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara, melalui kerjasama erat bersama pelbagai pihak berkepentingan.

RELATED ARTICLES
Utama

Bakat, potensi kanak-kanak perlu terus dikembangkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular