SANDAKAN: Seorang wanita tempatan berusia 47 tahun maut dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan kediaman di Jalan Buli Sim Sim dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati mangsa seorang wanita tempatan berusia 47 tahun itu dipercayai terjatuh dari aras tinggi bangunan tersebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki,” katanya dalam.satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, identiti mangsa dikenalpasti berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui bersamanya di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.