Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, secara lantang mengulas kenyataan Parti Warisan yang dilihat seolah-olah mahu memecahbelahkan GRS.
Menurut Azizah, tindakan Warisan yang hanya mahu bekerjasama dengan parti tertentu, seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), tetapi menolak Gagasan Rakyat menunjukkan sikap yang memecahbelahkan.
“Kalau betul mahu bekerjasama, bekerjasama dengan semua, kan? Tapi ini nampak macam mahu memecahbelahkan sahaja. Janganlah macam budak-budak, kami pun boleh nampak itu. Ingat kami ini bodoh sangat?” kata Azizah tegas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2025 Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) di Wisma IDS di sini, hari ini.
Reaksi Azizah ini berikutan Ketua Biro Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman dalam satu kenyataan medianya semalam menyatakan parti itu hanya bersedia bekerjasama dengan parti tanpa isu integriti seperti PBS dan STAR sahaja tapi bukan Gagasan Rakyat.